Ikuti Kami:

iQOO 15R kini di pasaran Malaysia, Tumpu Prestasi Permainan Tahap Tinggi

iQOO 15R kini di pasaran Malaysia, Tumpu Prestasi Permainan Tahap Tinggi

iQOO Malaysia hari ini melancarkan model terbaharunya, iQOO 15R, sebuah telefon pintar flagship yang direka khusus untuk memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan penggemar permainan mudah alih di negara ini.

Menampilkan falsafah “Performance Beyond Standard”, iQOO 15R menggabungkan teknologi perkakasan terkini dengan rekaan ergonomik bagi memberikan pengalaman permainan yang lancar, stabil, dan berkuasa sepanjang hari.

Jantung kepada iQOO 15R ialah platform mudah alih Snapdragon® 8 Gen 5 yang digandingkan dengan Supercomputing Chip Q2 dan Monster HyperCore Engine.

Gandingan seni bina dwi-cip ini membolehkan peranti mencapai kadar bingkai 144 FPS yang stabil serta resolusi visual 1.5K yang tajam, sekaligus mengurangkan risiko gangguan teknikal seperti frame drop atau pemanasan melampau ketika sesi permainan intensif.

Bagi menangani isu haba, peranti ini dilengkapi dengan sistem penyejukan 6.5K IceCore VC yang canggih, memastikan suhu kekal optimum walaupun di bawah beban kerja yang tinggi.

Satu lagi tarikan utama iQOO 15R ialah bateri bersilikon anod berkapasiti 7600mAh. Walaupun membawa kapasiti besar, iQOO berjaya mengekalkan profil peranti yang nipis dan selesa dipegang.

Pengguna juga tidak perlu risau tentang masa menunggu yang lama kerana sokongan pengecasan pantas 100W FlashCharge membolehkan peranti dicas semula dengan pantas.

Ciri Advanced Bypass Charging turut disertakan, membolehkan kuasa disalurkan terus ke sistem peranti semasa bermain, sekali gus membantu menjaga kesihatan jangka hayat bateri.

Kualiti iQOO 15R bukan sekadar cakap kosong apabila ia diumumkan sebagai telefon pintar rasmi bagi kejohanan Malaysian Kings League (MKL) 2026.

Peranti ini akan digunakan oleh pasukan profesional Honor of Kings (HOK) di Malaysia dalam kejohanan berprestij itu, membuktikan keupayaannya untuk bertahan dalam persekitaran persaingan yang mencabar.

iQOO 15R hadir dalam dua pilihan warna iaitu Pixel Silver dan Dark Knight. Peranti ini ditawarkan pada harga RM2,499 bagi varian 12GB + 256GB, manakala varian 12GB + 512GB dijual pada harga RM2,699.

Orang ramai boleh mendapatkan peranti ini menerusi platform iQOO Official TikTok, Shopee, Lazada, dan rangkaian vivo Concept Store di seluruh negara.

Sebagai promosi pelancaran dari 2 hingga 8 Mac, pelanggan akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM458, termasuk iQOO Buds, waranti lanjutan setahun, dan waranti keretakan skrin selama 180 hari.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi terkini, layari laman sosial rasmi iQOO Malaysia di Facebook dan Instagram.

Loading...