iQIYI Bawa Duta Global Esther Yu Temui Peminat di Kuala Lumpur Pada 7 April
- oleh MDaily Editor
- 9 Mar 2026 2:21 pm
Platform penstriman antarabangsa, iQIYI, bakal menjadikan Malaysia sebagai destinasi pertama bagi siri jelajah ‘iQIYI Starship 2026’, dengan menampilkan Duta Globalnya, Esther Yu, dalam pertemuan eksklusif bersama peminat tempatan pada 7 April depan.
Acara yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu menandakan penampilan sulung pelakon popular berkenaan di Malaysia, susulan sambutan hangat terhadap pelbagai pengaktifan iQIYI di Asia Tenggara tahun lalu.
Menurut kenyataan iQIYI, pemilihan Malaysia sebagai persinggahan pertama jelajah tahun ini mencerminkan komitmen berterusan platform tersebut dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan.

Esther Yu, yang dilantik sebagai Duta Global iQIYI pada November tahun lepas, terkenal menerusi lakonan cemerlang dalam drama-drama hit seperti Love Between Fairy and Devil, My Journey to You, dan Sword and Fairy.
Pada acara tersebut, pelakon berbakat itu dijadual berkongsi pengalaman di sebalik tabir serta pandangannya mengenai watak yang dibawakan dalam drama asal iQIYI, Speed and Love (双轨), yang kini menjadi antara judul paling banyak diperkatakan di rantau ini.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa peluang penyertaan untuk acara tersebut akan diberikan keutamaan kepada ahli VIP Tahunan Antarabangsa iQIYI Malaysia.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai mekanik penyertaan dan perkembangan terkini acara tersebut diminta melayari platform media sosial rasmi iQIYI Malaysia di Instagram, TikTok, atau Facebook.




