Ippo Hafiz Pertahan Fazura: ‘Jangan Hukum Berdasarkan Satu Persembahan Live’
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
Komposer dan penulis lagu Bertahan Demi Cinta, Ippo Hafiz, menegaskan bahawa kritikan terhadap nyanyian Nur Fazura berdasarkan satu persembahan ‘live’ adalah tidak adil.
Ippo menjelaskan bahawa beliau baru kembali dari Jakarta untuk mempromosikan lagunya Tenang Diri, namun tidak dapat hadir menemani Fazura ketika beliau diminta menyanyikan lagu duet itu secara solo dalam satu undangan temubual di SEA Today News, Indonesia.
“Saya juga dijemput, tetapi tidak dapat hadir. Apa yang saya tahu, jadual Fazura sangat padat, jadi bila diminta menyanyi secara ‘live’ mungkin dia terkejut. Lagu ini pula adalah duet, jadi sukar dinyanyikan secara solo,” kata Ippo.
“Bila in-ear monitor bermasalah, memang sukar nak kawal nyanyian. Jadi, saya rasa orang ramai tidak boleh mengharapkan setiap persembahan akan sempurna setiap masa,” tambahnya.
Memetik BH Online, Ippo turut memaklumkan bahawa Bertahan Demi Cinta masih dipromosikan di Indonesia, menghormati perancangan yang diatur oleh syarikat rakaman Hits Records.
Lagu tersebut juga merupakan runut bunyi drama Hero Seorang Cinderella 2, dengan sasaran pasaran di Indonesia.
“Kami tidak jangka perceraian ini berlaku, namun ini semua diatur oleh syarikat rakaman di Indonesia, jadi kami perlu hormati perancangan tersebut. Kita tidak mahu mencampur aduk hal peribadi dengan kerja,” jelasnya.
Persembahan Fazura yang tular baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi di media sosial, sehingga menjadi topik ‘Trending di Malaysia’ di laman X, dengan ramai mengkritik kualiti vokal dan penyampaiannya.
Bertahan Demi Cinta, single yang dilancarkan dua hari selepas perceraian Fazura dan Fattah, dikarang sepenuhnya oleh Ippo Hafiz dan diterbitkan oleh Hits Records, Indonesia.