Inteam Ziarah Nazrey Johani Di Sabah, Wakili Munsyid Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 2 Aug 2025 4:01 pm

Kumpulan nasyid popular, Inteam, mewakili Munsyid Malaysia menziarahi bekas anggota Raihan, Nazrey Johani, yang kini sedang menjalani fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan memasukkan belon dan stent di jantung.
Kunjungan berkenaan diadakan sempena keberadaan Inteam di Sabah bagi menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2025 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC).
Presiden Munsyid Malaysia, Hazamin Inteam, turut menyerahkan sumbangan kebajikan kepada Nazrey sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap ikon nasyid itu, bagi pihak Biro Keahlian dan Kebajikan Munsyid Malaysia.
Hazamin berkata, kunjungan tersebut adalah manifestasi kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan penggiat seni dakwah.
“Kami hadir bukan sekadar membawa doa dan sumbangan, tetapi sebagai tanda persaudaraan sesama munsyid. Ustaz Nazrey adalah sosok penting dalam sejarah perkembangan nasyid tanah air. Semangat dan perjuangan beliau menjadi inspirasi buat generasi selepasnya,” katanya.
Nazrey yang kini berada dalam keadaan stabil menyambut kehadiran kumpulan itu dengan penuh rasa syukur.
“Alhamdulillah, saya sedang berehat atas nasihat doktor. Aktiviti seni terpaksa saya hentikan seketika untuk memberi ruang kepada proses pemulihan. Saya nasihatkan semua sahabat munsyid agar jaga kesihatan, amalkan gaya hidup sihat dan jangan lupa buat pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.
“Saya doakan munsyid terus maju dan bersatu. Terima kasih kepada Munsyid Malaysia dan sahabat-sahabat Inteam atas keprihatinan ini,” tambahnya.
Ziarah berkenaan turut diserikan dengan sesi sembang santai yang mengenang detik-detik kegemilangan era nasyid 90-an serta perkongsian nasihat dan pengalaman oleh Nazrey kepada para munsyid muda.
Munsyid Malaysia menerusi Biro Keahlian dan Kebajikan kekal komited untuk menjaga kebajikan para artis nasyid tanah air dalam usaha memperkukuh komuniti seni dakwah Islam.