Inteam Records Terus Aktif Dengan Pelancaran Karya Baharu Sempena Ramadan 2025
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Menjelang bulan Ramadan, Inteam Records semakin giat menerbitkan pelbagai karya baharu bagi memenuhi permintaan peminat muzik Islamik.
Label muzik nasyid terkemuka ini bukan sahaja memperkenalkan artis-artis baharu, malah turut memperkukuhkan kandungan digital serta merancang pelbagai projek menarik sepanjang tahun ini.
Inteam Records memulakan tahun 2025 dengan memperkenalkan Yusuf Kassim, artis baharu yang tampil dengan single debut bertajuk Permata Yang Dicari 2.0.
Lagu ini mendapat sentuhan susunan muzik moden dan berjaya menarik perhatian ramai dengan mencatat 10,000 tontonan dalam masa sehari selepas pelancarannya. Maklum balas peminat menunjukkan penerimaan positif terhadap evolusi muzik nasyid.
Antara album lain yang diterbitkan pada awal tahun ini ialah Zikir Munajat oleh Hazamin Inteam, Surah Pilihan oleh Ustaz Dr. Hazli Ismail, dan Surah Pilihan oleh Ustaz Husaini Mahmur.
Menjelang Ramadan, Inteam Records turut mempersembahkan single solo Di SisiMu oleh Hazamin Inteam.
Lagu ini menampilkan keunikan dalam susunan muzik dan mesej mendalam yang bersesuaian dengan suasana bulan penuh keberkatan ini.
Saluran YouTube Inteam Digital terus berkembang pesat, mencapai 1 juta pelanggan baru-baru ini.
Salah satu penyumbang utama kejayaan ini ialah video “SHORTS” bacaan surah bertaranum oleh Ustaz Husaini Mahmur, yang mendapat perhatian antarabangsa selepas beliau menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa di WTC KL tahun lalu.
Rentetan daripada kejayaan ini, Inteam Records melancarkan album Tilawah Al-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur di semua platform digital, dengan setiap bacaan surah diterbitkan secara mingguan di YouTube.
Turut mendapat perhatian menjelang Ramadan ini ialah mini album bertajuk Assalamualaikum oleh penyanyi cilik yang semakin meningkat naik, Iman Darwisy.
Beliau sebelum ini tular kerana menyanyikan lagu Aina Abdul di sebuah konsert. Kini, Iman Darwisy, yang juga Johan Bintang Kecil RTM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan, tampil dengan empat buah lagu, termasuk tiga ciptaan Jef Hazimin Jaafar serta satu lagu rakaman semula, Selamat Tinggal Ibuku.
Selain itu, bagi menarik minat kanak-kanak kepada kandungan Islamik, Inteam Records turut melancarkan album Inteam Kids bersama Iman & Sara dalam versi animasi. Projek ini merangkumi sembilan buah lagu, dengan muzik video pertama bertajuk Adab Tidur telah diterbitkan di YouTube Inteam Kids.
Lebih menarik, selepas 14 tahun, duo pemuzik antarabangsa Mohar dan Ramli Rebana, yang dikenali sebagai MOHRAM, kembali dengan album Dhuha.
Selain fokus kepada Ramadan, Inteam Records turut menyediakan kejutan buat peminat dengan lagu raya baharu bertajuk Taqabalallah Raya.
Lagu ini, ciptaan sepenuhnya oleh Syah Inteam, menampilkan gabungan suara artis-artis Inteam Records seperti Inteam, Husaini Mahmur, Mateen, dan Yusuf Kassim. Lagu ini bakal dilancarkan pada 21 Mac 2025 di semua platform digital.
“Kami berharap peminat terus menyokong perjalanan kami dan menikmati kandungan bermanfaat di YouTube Inteam Digital. Misi kami adalah memastikan muzik nasyid dan kandungan Islamik terus berkembang serta relevan dengan masyarakat hari ini,” ujar Abdul Rahim Inteam.
Sebagai kemuncak tahun 2025, Inteam merancang untuk mengadakan Konsert Inteam 25 Tahun pada hujung September di Zepp Kuala Lumpur.
Acara ini bakal menjadi satu lagi pencapaian besar bagi kumpulan yang telah berada dalam industri selama lebih dua dekad ini. Maklumat lanjut mengenai konsert ini akan diumumkan dari semasa ke semasa di media sosial rasmi Inteam.