Inteam Lancar ‘Satukan Kami Di Syurga’, Lagu Sentuhan Farouk Roman dan Fedtri Yahya
- oleh MDaily Editor
- 12 Dec 2025 6:15 pm
Kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam, kembali dengan karya terbaharu berjudul “Satukan Kami Di Syurga,” yang menampilkan kolaborasi istimewa dengan komposer hit Farouk Roman dan penulis lirik terkenal, Fedtri Yahya.
Lagu yang membawa mesej sarat emosi ini dilihat sebagai usaha Inteam membawa sentuhan baharu dalam genre nasyid kontemporari, dengan harapan ia mampu menambat hati pendengar pelbagai lapisan masyarakat.
Farouk Roman, yang dikenali dengan karya-karya popular bersama penyanyi utama seperti Khai Bahar, Hazama, dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengakui kerjasama ini membawa kelainan, dengan menyuntik sentuhan moden dalam lagu Inteam kali ini.
Menurut salah seorang ahli Inteam, Hazamin, mereka teruja dengan kolaborasi itu dan berharap agar lagu ini menjadi fenomena dan dekat di hati peminat.
“Kami berharap lagu ini mampu menjadi fenomena, dan dekat di hati pendengar. Lagu ini sangat universal, mudah diterima dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” tambah Syah Inteam.
Rahim Inteam pula optimis, lagu itu berpotensi besar untuk popular kerana ia memberikan nafas baharu buat kumpulan nasyid tersebut.
Sementara itu, Hisyam Inteam menekankan bahawa penghayatan mendalam dan keikhlasan adalah kunci utama dalam menyampaikan mesej lagu itu.
Muzik video (MV) “Satukan Kami Di Syurga” turut mencuri tumpuan apabila menampilkan semula gandingan pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka.
Ini merupakan penampilan kedua pasangan itu dalam MV Inteam, selepas kejayaan lagu DIA pada tahun 2019.
Norman Hakim meluahkan rasa syukur dapat kembali bekerjasama dengan Inteam dan menyifatkan penggambaran MV kali ini sebagai momen yang menyentuh hati.
Lagu “Satukan Kami Di Syurga” mengangkat mesej mengenai kasih sayang, pengharapan, dan doa untuk dipertemukan kembali di syurga bersama insan tersayang, menjadikannya relevan dengan cabaran kehidupan hari ini.
Lagu dan muzik video “Satukan Kami Di Syurga” boleh ditonton di saluran YouTube Inteam Digital dan didengari di semua platform penstriman digital utama bermula 6 November 2025.




