Ikuti Kami:

Inteam Hadiahkan ‘Citra Kasih’ Buat Peminat Setia

Inteam Hadiahkan ‘Citra Kasih’ Buat Peminat Setia

Susulan kejayaan gilang-gemilang Konsert Nur Kasih Inteam di Axiata Arena baru-baru ini, kumpulan nasyid tersohor negara, Inteam, meneruskan momentum kecemerlangan mereka dengan melancarkan album terbaharu berjudul Citra Kasih.

Album yang memuatkan 17 trek itu merupakan buah tangan istimewa buat para peminat yang telah menyokong perjalanan seni mereka selama 25 tahun, sekali gus menjadi simbolik penghargaan atas kesetiaan peminat tegar genre nasyid.

Menariknya, Citra Kasih menyaksikan kembalinya kolaborasi antara Inteam dan kumpulan Hijjaz selepas hampir dua dekad. Penglibatan anggota Hijjaz dalam penciptaan lagu baharu dianggap sebagai ‘sentuhan emas’ yang dinantikan ramai.

Menurut anggota Inteam, Hisyam, mereka meluahkan rasa syukur atas kerjasama yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama.

“Hampir 20 tahun Inteam tidak mendapat sentuhan daripada Hijjaz. Alhamdulillah, untuk album ini, Abang Isman menyumbangkan lagu Hamparan Kasih manakala Abang Munif pula menghasilkan lagu Citra Kasih, kedua-duanya dengan lirik sentuhan ITO Lara,” katanya.

Selain lima lagu baharu, album ini turut menampilkan keunikan tersendiri dengan memuatkan empat lagu solo setiap anggota Inteam iaitu Syah (Jendela Hafsah), Hisyam (Aku Diuji), Hazamin (DiSisiMu) dan Rahim (Asmaul Anbiya).

Tidak ketinggalan, album ini turut memuatkan kolaborasi penuh emosi menerusi lagu Kias Cinta 2.0 bersama anak-anak Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Hadie El Fardie dan Sallman El Khoyri.

Turut dimuatkan adalah lagu Kudus Palestin (duet bersama Lah Ahmad) yang baru-baru ini memenangi anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Carta 114 TV AlHijrah, selain lagu remake Alangkah Indah serta Madrasah Ramadan (duet bersama kumpulan Zayne).

Meskipun terikat dengan jadual padat siri persembahan dan persiapan konsert mega, Inteam tetap memberikan komitmen penuh di studio bagi memastikan kualiti album berada pada tahap terbaik.

“Walau sibuk dengan aktiviti persembahan, kami tetap komited menyiapkan rakaman lagu baru. Rata-rata peminat yang sudah mendengar menyatakan rasa suka pada lagu-lagu baru ini,” ujar Rahim.

Bagi Hazamin pula, album ini adalah lambang terima kasih yang tidak terhingga.

“Sudah lama kami tidak menerbitkan album, dan sebagai menghargai sokongan luar biasa di Axiata Arena, kami hadiahkan Citra Kasih buat semua,” tambahnya.

Diterbitkan oleh Inteam Records Sdn Bhd, album Citra Kasih kini boleh didengari di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music bermula Februari ini.

Loading...