Inteam dan Anak Arwah Suhaimi Saad Bersatu Dalam Kias Cinta 2.0
- oleh MDaily Editor
- 22 Oct 2025 9:06 pm
Inteam meneruskan legasi persahabatan dan perjuangan seni Allahyarham Suhaimi Saad menerusi lagu Kias Cinta 2.0 yang menampilkan dua anak lelaki arwah, Hadie ElFardie dan Sallman Elkhoyri.
Projek istimewa terbitan Inteam Records ini dihasilkan sempena Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam dengan susunan muzik moden oleh Wan Saleh dan penerbit berbakat Frizdan. Lagu asal Kias Cinta merupakan ciptaan Ismen Nadim Isam daripada kumpulan Hijjaz dengan lirik oleh Atie.
Menurut Hazamin Inteam, projek ini bukan sekadar usaha memperbaharui lagu lama tetapi satu simbol kasih dan silaturahim yang tidak terputus.
“Ini bukan sekadar lagu lama diberi wajah baharu, tapi satu perjalanan emosi yang menghubungkan kami dengan arwah dan anak-anaknya. Kami mahu lagu ini terus hidup dan menyentuh hati generasi baharu,” katanya.
Bagi Syah Inteam, kolaborasi bersama anak-anak arwah memberikan dimensi berbeza kepada lagu tersebut.
“Gabungan suara Hadie dan Sallman benar-benar memberi aura istimewa. Ia bukan sekadar kolaborasi tetapi penyatuan roh dan semangat dalam perjuangan nasyid,” ujarnya.
Rakan anggota lain, Rahim dan Hisyam turut melihat Kias Cinta 2.0 sebagai lambang cinta yang abadi, bukan hanya cinta dua insan tetapi cinta keluarga, perjuangan dan dakwah melalui seni suara.
Isteri arwah, Nurdiana Naim atau lebih dikenali sebagai Ina Naim menzahirkan rasa terharu atas peluang yang diberikan kepada anak-anaknya untuk menyertai projek berkenaan.
“Saya sangat bersyukur dan tersentuh apabila Inteam mengajak Hadie dan Sallman untuk menyanyikan semula lagu ini. Ia penghargaan besar buat arwah dan kenangan yang tidak ternilai untuk kami sekeluarga,” katanya.
Hadie ElFardie yang juga peserta Talk To My Manager menyifatkan Kias Cinta 2.0 sebagai cara untuk meneruskan suara dan semangat ayahnya.
“Lagu ini amat bermakna bagi kami. Ia seperti ‘suara ayah’ yang kami teruskan, dan kami berharap ia mampu menyentuh hati semua pendengar,” katanya.
Adiknya, Sallman Elkhoyri pula berharap agar karya tersebut menjadi inspirasi buat remaja.
“Kami ingin membawa mesej kasih sayang dan semangat positif dalam lagu ini agar terus hidup dalam jiwa pendengar,” katanya.
Kias Cinta 2.0 dilancarkan secara rasmi pada 28 September 2025 dan kini boleh didengari di semua platform digital serta saluran YouTube Inteam Digital.




