Inteam Cipta Sejarah, Bergema di Festival Nasyid Antarabangsa Algeria
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Kumpulan nasyid terkenal tanah air, Inteam, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengangkat nama Malaysia di pentas Festival Nasyid Antarabangsa (Mahrajan Al-Insyad Al-Duwali) yang berlangsung di Constantine, Algeria.
Buat julung kalinya menjejakkan kaki di bumi Afrika Utara, Inteam bukan sahaja tampil memukau dengan persembahan lagu-lagu nasyid ikonik, malah menjadi tumpuan apabila memperkenalkan busana tradisional Melayu sebagai identiti seni dan budaya Malaysia.
Diundang secara rasmi oleh Kementerian Kebudayaan Algeria dan pihak pentadbiran Wilayah Constantine, penyertaan ini dianggap detik bersejarah dalam perjalanan seni dakwah kumpulan yang telah mewarnai industri muzik nasyid selama lebih dua dekad.
Antara lagu yang dibawakan termasuk Dia Muhammad, Taybah, Setanggi Syurga, Solatullah, Ya Hanana dan Qamarun. Lagu terakhir dipersembahkan secara duet bersama Sheikh Sayed Arshid, penyanyi asal Syria yang kini menetap di Malaysia.
Sambutan hangat penonton mengiringi persembahan mereka, dengan tepukan gemuruh yang tidak putus dan permintaan agar lagu Ya Hanana dinyanyikan semula pada penghujung acara.
Menambah keistimewaan persembahan, Ustaz Husaini Mahmur, Johan Qari Antarabangsa 2024, turut menyertai Inteam bagi menggantikan Hisyam yang tidak dapat hadir atas komitmen kerja di tanah air.
Bagi anggota kumpulan, momen ini bukan sekadar persembahan semata-mata, malah menjadi langkah penting dalam menyampaikan mesej dakwah dan memperkenalkan budaya Malaysia ke pentas antarabangsa.
Syah Inteam menyifatkan pengalaman ini sebagai luar biasa dan penuh makna.
“Walaupun datang dari latar budaya dan bahasa berbeza, kami semua disatukan melalui nasyid. Sambutan yang diberikan sangat menyentuh hati.”
Amin Inteam pula berkata mereka memang berniat memperkenalkan elemen budaya Malaysia melalui penampilan.
“Kami sengaja mengenakan busana Melayu. Ramai yang tertarik dan bertanya mengenainya selepas persembahan. Ia menjadi satu ruang dakwah dan diplomasi budaya yang sangat indah.”
Sementara itu, Rahim Inteam turut menzahirkan rasa syukur atas peluang tersebut.
“Kami rasa sangat bertuah dapat berkongsi pentas dengan artis nasyid dari pelbagai negara. Berduet dengan Sheikh Sayed Arshid merupakan satu penghormatan besar.”
Penyertaan Inteam ini membuka ruang lebih luas kepada kerjasama dan persembahan berskala antarabangsa pada masa hadapan.
Mereka turut menyeru sokongan berterusan daripada peminat serta institusi yang mendukung perkembangan seni dakwah Islam kontemporari.