Selepas mencuri perhatian ramai apabila tercalon dalam kategori Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), penyanyi meningkat naik Intan Maya kembali dengan single terbaharu berjudul Sangka Kau Suci.
Diterbitkan oleh Suria Records (SRC), lagu ciptaan Aria.J, IS dan N.H itu mengetengahkan sisi emosi dan kejujuran seorang wanita yang berdepan kekecewaan akibat ditinggalkan kekasih demi orang ketiga.
Meskipun temanya kelihatan ‘klise’, namun kehebatan vokal dan penghayatan Intan Maya menjadikan lagu ini penuh jiwa dan menyentuh perasaan.
Menurut Intan Maya, dia memilih lagu tersebut kerana merasakan liriknya dekat dengan kehidupan sebenar ramai orang dan mengandungi mesej mendalam yang lebih daripada sekadar kisah cinta.
“Saya mahu bawakan lagu yang bukan hanya sedap didengar tetapi juga boleh dirasai. Sangka Kau Suci menggambarkan perasaan kecewa dan kekuatan untuk bangkit semula,” katanya.

Proses rakaman lagu ini berjalan lancar apabila komposer dan penulis lirik mengakui Intan Maya berjaya menjiwai emosi lagu tersebut dengan baik dalam tempoh yang singkat, hasil sikap profesional semua pihak yang terlibat.
Sebelum ini, penyanyi kelahiran label SRC itu telah memperkenalkan dua buah lagu iaitu Layak Bahagia dan Dalam Ingatan yang masih diputarkan di corong-corong radio. Enggan hilang momentum, Intan Maya berazam untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam industri muzik tempatan.
“Saya mahu terus belajar dan berkembang. Harapan saya agar tahun-tahun mendatang menjadi saksi kepada kejayaan yang lebih besar dalam karier nyanyian saya,” ujarnya.
Lagu Sangka Kau Suci kini boleh dimuat turun di iTunes serta distrim menerusi platform digital seperti Apple Music, Deezer, YouTube Music dan Spotify.




