Ikuti Kami:

“InsyaAllah Berkah” Tawar Pakej Umrah dan Percutian Kepada Penonton Bertuah

“InsyaAllah Berkah” Tawar Pakej Umrah dan Percutian Kepada Penonton Bertuah

Penonton di Malaysia bakal menikmati pengalaman menonton filem yang bukan sahaja menyentuh emosi tetapi juga membuka peluang memenangi hadiah eksklusif apabila filem inspirasi keluarga dari Indonesia, InsyaAllah Berkah, ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 Ogos 2025.

Diedarkan oleh D’Ayu Pictures dan diterbitkan oleh Anugerah Pictures, filem ini bukan sekadar hiburan tetapi hadir bersama nilai spiritual dan ganjaran berupa pakej percutian domestik serta pakej umrah yang ditawarkan kepada penonton bertuah.

Filem InsyaAllah Berkah mengisahkan perjalanan hidup Dudung, seorang anak yatim piatu yang tinggal bersama neneknya Romlah. Dalam serba kekurangan, Dudung berusaha keras memenuhi impian neneknya untuk menunaikan ibadah haji. Perjalanan mereka berubah apabila bertemu dengan Kasniza, seorang gadis yang menjadi pemangkin perubahan dalam hidup mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures, Azaromi Ghozali, ketika ditemui pada tayangan media khas filem ini di TGV Suria KLCC, berkongsi tentang kempen istimewa yang dijalankan bagi menghargai sokongan penonton.

“Kita sasarkan 50,000 penonton untuk capai tahap pulangan modal (break-even). Sebagai ganjaran, kita akan buat cabutan bertuah bagi tiga pakej percutian domestik dua hari satu malam untuk pasangan dan kalau tontonan cecah 100,000 orang, kita hadiahkan satu pakej umrah untuk dua orang, tajaan RA Travel,” katanya.

Penonton hanya perlu menyimpan tiket tayangan sebagai bukti penyertaan dan cabutan akan dibuat berdasarkan data dari pihak pawagam.

Azaromi menjelaskan bahawa pemilihan filem dakwah ini dibuat kerana kekurangan filem seumpamanya di pasaran tempatan.

“Sekarang dah jarang ada filem dakwah Islamik tempatan. Kita ambil risiko bawa filem sebegini dari Indonesia kerana yakin ia mampu memberi impak kepada penonton. Filem ni bukan sekadar hiburan, tapi juga motivasi dan harapan,” ujarnya.

Walaupun mengetengahkan elemen spiritual, filem ini bersifat terbuka dan menyampaikan mesej yang merentasi batas agama serta budaya.

“Ia cerita tentang usaha, kasih sayang dan impian. Kita alu-alukan penonton bukan Islam juga kerana mesejnya menyentuh nilai kemanusiaan sejagat,” jelas Azaromi.

Mekanisme cabutan akan diumumkan kelak dan dijangka berlangsung secara langsung di sosial media D’ Ayu Pictures.

Filem ini akan ditayangkan di 30 pawagam terpilih seluruh Malaysia.

Dengan gabungan mesej dakwah, inspirasi dan kempen hadiah bertuah, InsyaAllah Berkah tampil sebagai sebuah naskhah unik dan bermakna untuk semua lapisan penonton.

Komen
Loading...