Insomniacks, Yonnyboii Bergabung Menerusi Single ‘Bersuara’
- oleh MDaily Editor
- 4 Feb 2026 12:04 pm
Kumpulan band popular tempatan, Insomniacks, kembali mewarnai persada seni tanah air dengan buah tangan terbaharu berjudul “Bersuara”, hasil kolaborasi sulung bersama penyanyi dan komposer versatil, Yonnyboii.
Single yang bakal dilancarkan secara rasmi pada 6 Feb ini menyaksikan satu transisi berani buat kedua-dua pihak, dengan mengetengahkan genre muzik yang lebih berat, agresif dan sarat dengan mesej emosi.
Insomniacks dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan “Bersuara” sebagai sebuah karya yang lahir daripada pengalaman peribadi tentang tekanan emosi dan perasaan tidak didengari yang sering dipendam oleh masyarakat.
“Lagu ini adalah tentang keberanian untuk berdiri demi diri sendiri, terutamanya apabila berhadapan dengan penindasan atau buli. Ia adalah peringatan tentang nilai harga diri dan kepentingan untuk lantang bersuara,” menurut kenyataan itu.
Berbeza dengan identiti balada yang sinonim dengan mereka sebelum ini, Insomniacks kali ini meneroka bunyi yang lebih ‘heavy’ dan gritty, sekali gus menandakan kematangan mereka dalam perjalanan muzik.

Mengulas mengenai penglibatan Yonnyboii, kumpulan itu menyifatkan penyanyi tersebut sebagai ‘jiwa’ kepada naskhah berkenaan melalui penghasilan hook dan suntikan tenaga yang lebih mentah.
Sementara itu, Yonnyboii berkata kolaborasi tersebut merupakan satu permulaan baharu (fresh start) buat dirinya untuk menonjolkan sisi vokal yang lebih cenderung kepada elemen rock dan alternatif, berbanding gaya rap yang sering dibawakannya.
“Lagu ini terhasil apabila saya rasa suara saya tidak didengari oleh sekelompok orang. Ia adalah luahan peribadi tentang keyakinan untuk bercakap mengenai apa jua kesusahan yang dilalui.
“Bagi saya, jika kita terus memendam perasaan, sakitnya akan menjadi lebih mendalam. Jadi, bersuaralah,” katanya yang turut menyifatkan proses rakaman bersama Insomniacks sebagai satu pengalaman yang santai dan menyeronokkan.
Melalui naskhah ini, kedua-dua artis berharap agar “Bersuara” dapat menjadi wadah buat pendengar untuk mengekspresikan emosi serta menjadi mesej tegas bagi memerangi isu buli.
“Bersuara” boleh didengari di semua platform penstriman digital Jumaat ini.




