Ikuti Kami:

Insomniacks Pukau 2,400 Peminat Dengan Konsert Sulung ‘Echoes Of A Dream’

Insomniacks Pukau 2,400 Peminat Dengan Konsert Sulung ‘Echoes Of A Dream’

Kumpulan pop alternatif popular, Insomniacks membuktikan kredibiliti mereka sebagai antara band paling berpengaruh masa kini apabila berjaya memukau 2,400 peminat menerusi konsert sulung mereka, ‘Echoes Of A Dream’ yang berlangsung penuh meriah di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.

Kejayaan konsert ini bukan sahaja menandakan satu detik bersejarah buat Insomniacks selepas 10 tahun bertapak dalam industri, malah membuktikan sokongan kuat peminat yang sentiasa setia bersama mereka sejak awal penubuhan.

Menerusi persembahan penuh bertenaga, susunan lagu yang sarat emosi dan sentuhan produksi pentas mantap, Insomniacks berjaya mencipta pengalaman yang luar biasa buat peminat.

Persembahan mereka turut diserikan dengan pencahayaan dramatik dan elemen audio visual memukau yang menambah kehangatan suasana.

Sebagai kejutan istimewa, Insomniacks turut melancarkan lagu terbaharu berjudul ‘Seperti Dulu’ sebelum tirai konsert dibuka sekali gus menambahkan keterujaan peminat yang telah lama menantikan buah tangan terbaharu mereka.

Sepanjang dua jam persembahan, kumpulan ini mempersembahkan 21 buah lagu termasuk karya hits seperti Pulang, Sempurna dan Igauan Malam, selain beberapa lagu baharu yang pertama kali dipersembahkan secara langsung.

Iqie (Syed Mir Iqbal) selaku vokalis utama meluahkan rasa syukur atas kejayaan konsert sulung ini yang disifatkan sebagai hadiah buat peminat yang tidak pernah putus memberi sokongan.

“Alhamdulillah, selepas 10 tahun dalam industri, akhirnya konsert sulung kami berjaya direalisasikan. Malam ini sangat bermakna buat kami semua. Sokongan peminat memberi kekuatan dan semangat untuk kami terus menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Selain Iqie, Insomniacks turut dianggotai Wan Arif Iskandar (bes) dan Danial Lee Hashim (gitar).

Lebih memeriahkan pentas, penyanyi terkenal dari Indonesia, Nabila Taqiyyah turut membuat penampilan istimewa dengan menyanyikan lagu Belum Mulai bersama Insomniacks. Antara artis lain yang turut memeriahkan acara ialah Nabila Razali, Killa Driz dan Arif Kamaruddin.

Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid turut meluahkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran konsert yang mendapat kerjasama Universal Music Malaysia ini.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan. Kami gembira melihat sambutan hangat dan tidak sabar untuk membawa konsert ini ke Singapura selepas ini,” katanya.

Tiket konsert di Kuala Lumpur sebelum ini habis dijual dalam tempoh 4 jam, membuktikan kekuatan pengaruh Insomniacks yang mempunyai peminat tegar dikenali sebagai Maniacks.

Insomniacks kini bersedia untuk meneruskan kejayaan ini ke pentas antarabangsa menerusi konsert di Singapura pada 16 Ogos depan yang turut mencatatkan jualan tiket ‘sold out’ lebih awal.

Konsert ‘Echoes Of A Dream’ bukan sekadar sebuah persembahan tetapi turut menjadi lambang pengiktirafan kepada dedikasi dan kerja keras Insomniacks dalam mewarnai industri muzik tanah air.

Komen
Loading...