Insomniacks Lancar EP Inggeris Debut, “Awake & Dreaming,” Menyentuh Cerita Suka Duka Kehidupan
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Dikenali dengan lagu-lagu yang sering mengundang igauan ramai, Insomniacks terus mencatatkan nama mereka dalam industri muzik tanah air, terutamanya dalam kalangan peminat Generasi Z.
Kumpulan yang dianggotai oleh Iqie selaku penyanyi utama, Iskandar sebagai pemain bes, dan Dan sebagai pemain gitar ini, terus berinovasi dalam penghasilan karya muzik mereka.
Melangkah lebih jauh, Insomniacks kini melancarkan EP Inggeris sulung mereka yang berjudul Awake & Dreaming, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan muzik mereka.
EP ini memperlihatkan kematangan kreatif mereka dan memberikan dimensi baharu dalam karya-karya terdahulu.
Menurut Iqie, mereka telah lama menyimpan impian untuk menghasilkan koleksi lagu Inggeris mereka sendiri, dan proses penciptaan projek ini bukan sahaja memberi kepuasan kreatif, malah membuka lebih banyak ruang untuk mereka mengekspresikan diri.
“Kami sudah lama mengimpikan untuk melancarkan lagu-lagu Inggeris kami sendiri sejak awal penubuhan kumpulan ini. Kami percaya pengikut dan pendengar muzik kami di Malaysia juga sudah bersedia untuk melihat sisi baharu kami,”
“Proses penulisan lagu sangat menyeronokkan. Menulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris terasa sangat menyegarkan.
“EP ini adalah koleksi idea dan pengalaman kami semasa zaman remaja yang menceritakan pelbagai emosi yang kami alami dalam perjalanan meniti kedewasaan. Kami berharap karya ini dapat menyentuh hati pendengar dengan mendalam.” kata Iqie.
Secara keseluruhan, Awake & Dreaming mengangkat tema mengenai kesulitan dalam fasa berbeza kehidupan, terutamanya berkaitan isu kesihatan mental.
Pada masa yang sama, ia menunjukkan keprihatinan terhadap perasaan mereka yang menghadapi cabaran tersebut.
Dan menjelaskan bahawa EP ini menggambarkan masalah insomnia yang pernah mereka alami suatu ketika dulu. Ketika menghadapi masalah itu, mereka sukar untuk membezakan antara realiti dan mimpi.
“Inspirasi di sebalik lagu Awake & Dreaming, khususnya, tercetus daripada pengalaman kami yang bergelut dengan insomnia, terperangkap dalam kesunyian malam atau keletihan pada siang hari.
“Walaupun lagu-lagu ini ditulis lebih sedekad yang lalu, ia masih mengimbau kembali kenangan dan emosi yang kami rasakan ketika itu.
“Akhirnya, tahun ini kami dapat memberikannya nafas baharu dengan sentuhan bunyi moden dan nostalgia. Ia membawa kami kembali ke permulaan perjalanan muzik kami dan sokongan yang kami terima daripada peminat,” kata Dan.
Dengan penambahan diskografi ini, Iskandar turut optimis bahawa impian untuk mengadakan konsert solo mereka akan semakin dekat.
Selain daripada lagu-lagu Melayu popular seperti Pulang, Reminisensi, dan Sempurna, kini Insomniacks turut memperkenalkan karya Inggeris mereka.
Lagu-lagu hits mereka seperti Reminisensi dan Sempurna kini berada dalam Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia mengikut RIM.
“Pendengar akan dapat melihat sisi yang berbeza dan baharu daripada Insomniacks. Kami sangat teruja untuk menunjukkan keupayaan kami yang lebih versatil. Kami harap semua orang akan terhibur dan merasai getaran lagu-lagu Inggeris kami,” kata Iskandar.
EP Awake & Dreaming yang menggabungkan genre pop rock ini dihasilkan sepenuhnya oleh Iqie, Dan, dan Iskandar, dengan JOEK sebagai produser dan Joseph Chua sebagai penyusun muzik.
EP ini memuatkan lima lagu, iaitu Anti-hero, Awake & Dreaming, Overdrive (feat. KillaDriz), Some Days Are Just Better, dan Why Don’t You Cry.
Dengan pelancaran Awake & Dreaming, Insomniacks terus membuktikan bahawa kreativiti mereka tidak terhad dan perjalanan muzik mereka baru sahaja bermula.