Ikuti Kami:

Insomniacks Bakal Gegarkan Kuala Lumpur & Singapura dengan Konsert Mega 2025!

Insomniacks Bakal Gegarkan Kuala Lumpur & Singapura dengan Konsert Mega 2025!

Kumpulan pop-rock popular, Insomniacks, bersiap sedia untuk menggegarkan pentas dengan dua konsert besar tahun ini di Kuala Lumpur dan Singapura.

Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini menandakan pencapaian besar buat Insomniacks dalam perjalanan seni mereka.

Kumpulan Insomniacks terdiri daripada tiga ahli utama, iaitu Iqie (Syed Mir Iqbal) sebagai vokalis utama dan pemain gitar, Iskandar (Wan Arif Iskandar) yang memainkan bass serta turut berperanan sebagai vokalis, dan Danial (Danial Lee Hashim) sebagai pemain gitar kedua serta vokalis.

Antara lagu popular Insomniacks termasuk Pulang, yang mencatatkan rekod sebagai lagu dengan tempoh paling lama dalam carta pada tahun 2019 bagi kategori lagu tempatan, lagu tempatan yang paling banyak distrim pada tahun yang sama, serta tersenarai dalam 10 lagu paling banyak distrim di Malaysia.

Selain itu, lagu Belum Mulai juga mendapat perhatian sebagai sebuah duet bersama Nabila Taqiyyah.

Menurut Insomniacks, konsert ini adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

“Tahun 2025 sangat bermakna buat kami kerana akhirnya berpeluang mengadakan konsert besar sendiri. Ini adalah satu pencapaian besar, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong kami,” kata mereka.

Dengan pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi konsert di Malaysia dan Capitol Theatre, Singapura sebagai venue di luar negara, penganjur menjanjikan pengalaman muzik yang luar biasa dengan teknologi audio dan visual terbaik.

Dua konsert yang dinanti-nantikan ini akan berlangsung di lokasi eksklusif:

– 12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
– November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta pembelian tiket menerusi laman media sosial rasmi SAH Entertainment.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan Insomniacks di pentas yang lebih besar!

Komen
Loading...