Ikuti Kami:

Insiden Pecah Cermin Kereta: Netizen Dedah Rupanya Kereta ‘Sambung Bayar’

Insiden Pecah Cermin Kereta: Netizen Dedah Rupanya Kereta ‘Sambung Bayar’

Sebuah video tular menunjukkan seorang wanita memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan batu, mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Kejadian tersebut melibatkan seorang lelaki yang juga dilihat merosakkan kereta berkenaan dengan menggunakan besi.

Di dalam video itu, ejen penarik kenderaan juga kelihatan menunggu di hadapan rumah individu yang terlibat.

Menurut pengguna Facebook, Rasis Jalil, insiden ini berpunca daripada kereta yang dijual secara ‘sambung bayar’, di mana pemilik asal didakwa telah menganiaya pembeli.

“Dikatakan kereta ini dibeli secara sambung bayar. Keluarga ini telah membayar secara bulanan, tetapi pemilik asal tidak membayar kepada bank.

“Ini adalah pengajaran agar tidak membeli kereta secara sambung bayar,” tulisnya.

Rasis Jalil memuat naik video tersebut di laman Facebooknya pada hari Selasa, menarik perhatian ramai.

Seorang pengguna lain, Luqman Hakim, turut memberi penjelasan mengenai situasi keluarga yang terlibat, menyatakan bahawa mereka telah dianiaya oleh pemilik asal kereta.

“Cerita sebenarnya, keluarga ini telah membeli kereta sambung bayar. Mereka membayar penuh kepada pemilik, tetapi pemilik tidak membayar kepada bank dan telah tertunggak selama lapan bulan.

“Ketika membeli, mereka juga sudah membayar deposit. Apabila menyedari ansuran tidak dibayar kepada bank sedangkan mereka telah membayar kepada pemilik, mereka bertindak merosakkan kereta itu.

“Jadi, boleh dikatakan mereka kerugian kerana sudah membayar deposit dan ansuran, tetapi akhirnya kereta ditarik,” jelas Luqman Hakim.

Sementara itu, Wan Firdaus, seorang lagi pengguna Facebook, menambah bahawa kejadian ini akan memberi kesan buruk kepada pemilik asal kereta.

“Pemilik asal kini berada dalam kesulitan. Dengan kereta yang dibeli secara sambung bayar, nilai kereta akan jatuh, menyebabkan pemilik asal menanggung kerugian yang lebih besar.

“Individu dalam video itu melepaskan kemarahan kerana namanya tidak ada dalam geran dan pinjaman bank,” tulis Wan Firdaus.

Walaupun terdapat penjelasan dari netizen mengenai situasi tersebut, ramai yang tetap mengecam tindakan ganas yang ditunjukkan dalam video yang tular.

Komen
Loading...