Insaf Malaysia Lancar “Sekampit Beras Satu Keluarga”, Sasar Bantuan kepada Golongan Memerlukan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu

Insaf Malaysia kembali dengan inisiatif kebajikan menerusi pelancaran program “Sekampit Beras Satu Keluarga” bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan menjelang Ramadan.
Program ini bertujuan mengumpul sumbangan beras untuk diagihkan kepada keluarga asnaf, golongan B40, rumah anak yatim, warga emas, mualaf, serta Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menurut Pengasas dan Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir, program ini adalah kesinambungan daripada usaha sebelum pandemik yang telah berjaya mengumpul 15 tan beras.
“Selepas pandemik Covid-19, kami menghadapi cabaran untuk meneruskan inisiatif ini. Namun, tahun lalu kami telah memulakannya secara kecil-kecilan, dan tahun ini kami mahu mengembangkannya semula agar lebih ramai dapat menerima manfaat,” katanya.
Tabung sumbangan ini akan dibuka sepanjang Ramadan sehingga Syawal bagi memastikan lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan. Selain agihan beras, hasil sumbangan juga akan digunakan dalam program Foodbank dan Dapur Insaf Malaysia untuk penyediaan makanan berbuka puasa serta bubur lambuk sepanjang Ramadan.
Untuk memudahkan sumbangan, Insaf Malaysia turut menyediakan kaedah pembayaran melalui QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090).
“Kami mengajak masyarakat untuk sama-sama menyumbang bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, dan ini adalah peluang untuk kita bersama-sama melakukan kebajikan,” tambah Ishak.
Sejak 16 tahun lalu, Insaf Malaysia telah membantu lebih 431 rumah kebajikan serta 1,309 murid sekolah, dan menerusi inisiatif ini, mereka berharap dapat terus memperluaskan bantuan kepada lebih ramai penerima.