INSAF Malaysia Akur Tindakan DBKL, Komited Teruskan Program Kebajikan
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (INSAF Malaysia) akur dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan pejabat mereka di Setiawangsa, selepas lapan tahun beroperasi sebagai pusat kebajikan utama di kawasan tersebut. Walaupun berdepan cabaran besar, organisasi ini tetap komited untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat.
Perobohan itu dilakukan kerana tapak berkenaan dimiliki oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta telah diwartakan sebagai tanah lapang di bawah pengurusan DBKL.
Foto: DBKL
Pengerusi INSAF Malaysia, Ishak Abdul Kadir, menjelaskan bahawa pejabat itu menjadi nadi kepada pelbagai inisiatif penting seperti dapur rakyat, kelas tambahan untuk kanak-kanak B40, serta pusat perlindungan sementara bagi mangsa bencana. Perobohan ini menyebabkan semua aktiviti terhenti sementara waktu.
“Kami memahami kuasa DBKL dalam hal ini dan tidak berniat melawan. Namun, kehilangan pejabat ini memberi kesan besar kepada operasi kami, terutama program kebajikan yang selama ini memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran program “Sekampit Beras Satu Keluarga” di Kuala Lumpur.
Pejabat tersebut mula beroperasi di tanah kosong Setiawangsa selepas mendapat kebenaran lisan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) lapan tahun lalu untuk menggunakan kawasan itu bagi tujuan kebajikan.
Namun, lima bulan lalu, tanah tersebut diserahkan kepada DBKL, yang kemudiannya mengeluarkan arahan pengosongan bagi melaksanakan pembangunan lanskap.
Menurut Ishak, beberapa rayuan telah dibuat untuk mendapatkan masa tambahan bagi memindahkan operasi, tetapi hanya diberi tempoh yang terhad.
“Kami memohon sehingga enam bulan untuk mencari lokasi baharu dan memindahkan segala kemudahan, tetapi tempoh itu tidak dipenuhi,” katanya.
Aktiviti kebajikan seperti kelas tambahan, dapur rakyat, dan aktiviti selepas sekolah yang sebelum ini diadakan di pejabat Setiawangsa kini terpaksa dihentikan.
Kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah yang biasanya bergantung kepada pusat itu kini kehilangan tempat untuk belajar dan berkegiatan selepas waktu sekolah.
“Kami telah memindahkan operasi dapur rakyat ke Taman Seputih, tetapi banyak program lain tidak dapat diteruskan buat masa ini. Walaupun begitu, kami tetap berusaha membantu masyarakat dalam apa jua cara yang mampu,” jelas Ishak.
INSAF Malaysia menyeru pihak berwajib dan masyarakat untuk memberi sokongan dalam usaha mereka mencari lokasi baharu bagi meneruskan program kebajikan yang terhenti.
Ishak menegaskan bahawa fokus utama organisasi adalah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan, walaupun menghadapi cabaran besar.
“Kami berharap dapat meneruskan misi kebajikan ini dengan bantuan pihak-pihak yang prihatin. Kebajikan masyarakat adalah keutamaan kami, dan kami tidak akan berhenti walaupun diuji dengan kehilangan ini,” tambah Ishak.
Untuk rekod, pada awal Febuari lalu, pihak DBKL telah merobohkan Pejabat dan Dapur INSAF Malaysia di Taman Setiawangsa yang sudah beroperasi selama lapan tahun sejak ditubuhkan secara rasmi pada Jun 2011.
Dalam perkembangan lain, program “Sekampit Beras Satu Keluarga” bertujuan mengumpul sumbangan beras untuk diagihkan kepada keluarga asnaf, golongan B40, rumah anak yatim, warga emas, mualaf, serta Orang Kelainan Upaya (OKU).
Tabung sumbangan ini akan dibuka sepanjang Ramadan sehingga Syawal bagi memastikan lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Selain agihan beras, hasil sumbangan juga akan digunakan dalam program Foodbank dan Dapur INSAF Malaysia untuk penyediaan makanan berbuka puasa serta bubur lambuk sepanjang Ramadan.
Untuk memudahkan sumbangan, Insaf Malaysia turut menyediakan kaedah pembayaran melalui QR Code akaun Maybank INSAF Malaysia (562188306090).