“Ini Ulang Tahun Kita!” – Sheila Majid Raikan 40 Tahun Perjalanan Seni Bersama Peminat
- oleh MDaily Editor
- 9 Nov 2025 1:57 pm
Ratu Jazz Nusantara, Dato’ Sheila Majid, mencipta malam bersejarah apabila meraikan 40 tahun perjalanan seni beliau bersama peminat melalui konsert mega solo pertama Sheila Majid di Axiata Arena, Sheila Majid 40 Years In Music, malam tadi.
Sheila membuka tirai konsert dengan lagu Warna yang diterbitkan pada tahun 1988, membawa penonton mengimbau detik awal kariernya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu-lagu malar segar seperti Aku Cinta Padamu, Antara Anyer Dan Jakarta, Legenda, Kerinduan dan Dia.
Dengan usia menginjak 60 tahun, Sheila masih kekal aktif di atas pentas, menampilkan stamina luar biasa dan vokal yang tetap mantap, seolah-olah masa tidak pernah menjejaskan kehebatan suaranya.

Sheila Majid atau nama lengkap Dato’ Shaheila Abdul Majid dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan peminat yang hadir.
“Malam ini saya sangat gembira kerana konsert ini telah habis dijual. Syukur Alhamdulillah. Saya tidak pernah menyangka dapat melakukan sesuatu yang saya cintai selama ini, dan semua ini adalah berkat anda, peminat saya. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya.”
“Sebenarnya, ini adalah ulang tahun ke-40 kita bersama, anda dan saya. Ini adalah pesta kita. Empat dekad yang luar biasa telah kita lalui, dan malam ini adalah untuk kita sama-sama merayakannya.” katanya.
Beliau turut memberi penghargaan khas kepada penonton Party Zone yang habis dijual dalam 15 minit, menandakan sokongan padu peminat terhadap konsert ini.

Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran rakan artis yang memberi sokongan, antaranya Ella Aminuddin, Anuar Zain, Misha Omar, Jaclyn Victor, Dato’ M Nasir serta penyanyi asal lagu Dia, Vina Panduwinata dan Afgan dari Indonesia, menjadikan malam itu lebih bermakna.
Wakil penganjur Altus Prohouse, Miselyn Yee Siew, berkata konsert ini bukan sekadar tribute, tetapi sebuah perjalanan yang menampilkan karier legenda Sheila Majid yang terus berkembang.
“Sebuah penyatuan para peminat Sheila menyaksikan 40 tahun yang indah terus berkembang dan MOVE ON dengan segala perancangan terbaru untuk tahun ini dan mendatang. ”
“Karya-karyanya, suara, relevansi beliau dan pencapaian yang telah diraih membuatkan Sheila Majid 40 Years In Music lebih daripada sekadar konsert. Konsert ini juga bakal menjadi sejarah abadi yang merayakan satu-satunya Ratu Jazz dan legenda kita, Sheila Majid.” katanya.
Setiap lagu diolah dengan susunan muzik segar dan bertenaga di bawah pimpinan Mac Chew (Pengarah Muzikal), dibantu Jenny Chin, Jennifer Thompson (Pengarah Konsert) dan Steve Ho, pereka pentas serta pencahayaan bertaraf antarabangsa.
Konsert yang berakhir dengan lagu Sinaran, lagu ikonik yang menaikkan nama Sheila Majid, menjadi kemuncak malam itu apabila seluruh dewan bergema dengan nyanyian penonton.
Momen ini menandakan kasih dan penghargaan terhadap seorang legenda muzik yang terus bersinar dan relevan merentas generasi.




