Ikuti Kami:

Inferno3 Pertaruhkan ‘Money’, Shiha Zikir Optimis Gilap Bakat M-Pop

Inferno3 Pertaruhkan ‘Money’, Shiha Zikir Optimis Gilap Bakat M-Pop

Industri muzik tanah air kini menyambut kehadiran kumpulan wanita (girl group) baharu, Inferno3, yang tampil mempertaruhkan single debut berjudul Money.

Kumpulan yang dianggotai oleh tiga remaja berbakat besar iaitu Hannis, 17, Hannah, 15, dan Eva, 17, bukan sekadar mempertaruhkan rupa paras, malah memiliki kebolehan menari dan vokal yang mantap.

Lebih istimewa, kemunculan sulung mereka turut mendapat sentuhan serta bimbingan daripada selebriti versatil, Shiha Zikir, yang turut berkolaborasi dalam lagu berkenaan.

Menurut salah seorang anggotanya, Hannis, mereka berasa amat bertuah kerana diberi peluang keemasan untuk bekerjasama dengan nama besar di bawah naungan syarikat rakaman Shiha Zikir Empire.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan rasa bertuah dapat melancarkan single pertama ini. Lagu ini bertambah istimewa kerana kami dapat menyanyikannya bersama Kak Shiha. Bukan semua orang dapat peluang ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, bagi Eva, pengalaman menjalani penggambaran video muzik (MV) di sebuah bangunan terbiar memberikan cabaran tersendiri buat mereka, namun kehadiran Shiha sebagai mentor banyak membantu mengurangkan rasa gementar.

“Kak Shiha tidak garang, cuma beliau sangat tegas dan seorang yang mementingkan kesempurnaan (perfectionist) terutama melibatkan konsep dan vibe lagu ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai potensi Inferno3, Shiha Zikir menyifatkan kumpulan ini mempunyai kelebihan kerana latar belakang mereka sebagai penari profesional memudahkan proses pembentukan imej kumpulan tersebut.

Shiha menjelaskan, lagu Money yang merupakan hasil ciptaan Iqie Hugh, John Jeeves, dan Firdaus Rahmat itu pada asalnya dicipta untuk nyanyian solonya, namun beliau mengubah fikiran demi memberi laluan kepada bakat baharu.

“Fokus kami bukanlah untuk berlawan dengan mana-mana kumpulan lain kerana mereka antara yang termuda. Kami lebih cenderung membentuk pengaruh positif dalam kalangan remaja.

“Walaupun meminati bidang seni, mereka langsung tidak mengetepikan soal akademik. Ibu bapa mereka juga meletakkan syarat, jika mahu aktif dalam hiburan, pencapaian akademik perlu cemerlang,” katanya.

Tambah Shiha lagi, beliau berharap peminat muzik tempatan terus memberikan sokongan padu kepada produk M-Pop (Malaysia Pop) agar setanding dengan pengaruh luar.

Lagu Money, yang membawakan mesej tentang realiti kehidupan dan kepentingan usaha dalam mencari rezeki, telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 9 Januari lalu.

Komen
Loading...