Industri Muzik Sumbang RM19.4 Bilion, RIM Harap Dana Lebih Besar Dalam Belanjawan 2026
- oleh MDaily Editor
- 8 Oct 2025 12:30 pm
Industri muzik tempatan terus membuktikan keupayaannya sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara apabila menjana RM19.4 bilion hasil ekonomi antara tahun 2016 hingga 2020.
Namun, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berpandangan potensi besar sektor itu hanya dapat direalisasikan sepenuhnya jika kerajaan memberikan peruntukan dana lebih besar dalam Belanjawan 2026.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata sokongan kerajaan amat penting bagi memastikan industri muzik terus berkembang dan mampu menjadi sebahagian daripada aset digital utama negara, sejajar dengan hasrat Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo yang mahu kandungan digital menjadi tonggak ekonomi masa depan.

“Industri muzik Malaysia bukan sekadar hiburan, tetapi antara pemacu ekonomi kreatif yang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rosmin, hasil kajian yang dijalankan oleh firma antarabangsa PwC mendapati industri muzik bukan sahaja menjana RM531 juta cukai tahunan, malah menyokong purata 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun.
“Peningkatan dana kepada industri muzik tempatan bukan sahaja menguntungkan pemain industri, malah memberi impak kepada sektor berkaitan seperti penganjuran konsert, tempat hiburan, penyiaran dan pelancongan,” jelasnya.
Beliau menambah, tahun 2024 mencatatkan rekod pendapatan tertinggi industri muzik Malaysia, dengan jumlah keseluruhan RM339 juta, hasil daripada platform digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook.
“Jumlah ini belum termasuk pendapatan daripada penerbitan muzik, acara langsung dan pengurusan artis. Jika digabungkan, angka sebenar pastinya jauh lebih tinggi,” katanya.
Rosmin turut menegaskan bahawa Dana Kreatif Digital Industri Muzik (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi terbukti antara inisiatif paling berjaya dalam menggalakkan penghasilan karya berkualiti tinggi, justeru peruntukan dana itu wajar diteruskan dalam Belanjawan 2026.
“Beberapa penerima dana DKK seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Hazama telah menghasilkan karya yang meraih pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.
“Malah, Dayang turut memenangi kategori Album Terbaik menerusi Belagu 2,” katanya.
Dalam masa sama, RIM turut menggesa kerajaan memperluaskan promosi muzik tempatan ke pasaran antarabangsa, khususnya di negara-negara seperti China, India dan Indonesia, yang mempunyai pasaran pengguna luas dan persamaan budaya dengan Malaysia.
“Kita mempunyai kelebihan dalam kepelbagaian bahasa dan budaya. Rakaman muzik dalam bahasa Melayu, Cina dan India berpotensi besar menembusi pasaran serantau. Lagu-lagu berunsur Islamik seperti nasyid juga boleh menguasai pasaran muzik Islam global,” katanya.
Beliau turut menjadikan kejayaan Korea Selatan sebagai contoh jelas bagaimana sokongan kerajaan mampu melonjakkan industri muzik ke tahap global.
“Kerajaan Korea Selatan melabur secara konsisten dalam industri K-Pop daripada 1 bilion Won pada 2009 kepada 319 bilion Won (USD280 juta) pada 2013, dan dijangka meningkat lebih 696 bilion Won (USD584 juta) tahun depan. Hasilnya, muzik kini menjadi eksport utama negara tersebut,” jelas Rosmin.
RIM yakin, dengan sokongan kerajaan yang berterusan, industri muzik Malaysia mampu mencapai kejayaan sama dan menjadi antara kuasa besar kandungan digital Asia menjelang tahun 2026.
“Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pembangunan bakat tempatan, memperkukuh sokongan dana serta mempromosikan muzik Malaysia ke luar negara. Jika langkah ini diambil, Malaysia mampu berdiri sebaris dengan Korea Selatan dan Jepun dalam arena muzik digital,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari www.rim.org.my atau ikuti RIM di Facebook (RecordingIndustryMalaysia) dan Instagram (@recordingindustrymalaysia).




