Industri Muzik Malaysia Catat Rekod Pendapatan RM428.3 Juta, Melonjak 17.7 Peratus
- oleh MDaily Editor
- 27 Jan 2026 5:40 pm
Industri muzik Malaysia melakar sejarah baharu apabila mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi sebanyak RM428.3 juta sepanjang tahun 2025, melonjak 17.7 peratus berbanding RM352.4 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan luar biasa itu dipacu oleh pengukuhan penggunaan muzik digital serta peningkatan ketara dalam kutipan royalti persembahan awam oleh Pertubuhan Pengurusan Kolektif (CMO).
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata pencapaian tahun 2025 mencerminkan impak pelaburan berterusan oleh syarikat rakaman serta sokongan padu peminat terhadap kepelbagaian genre muzik tempatan.
“Dengan jangkaan peningkatan penggunaan melalui perkhidmatan penstriman dan kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh, industri ini berada pada kedudukan terbaik untuk terus memperkukuh sumbangan kepada ekonomi negara serta memperluas jejak ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Berdasarkan data Carta RIM, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari muncul sebagai lagu domestik paling tinggi distrim, manakala kumpulan Insomniacks dinobatkan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim sepanjang 2025.
Bagi kategori antarabangsa, Taylor Swift kekal mendominasi sebagai artis pilihan, sementara kolaborasi Lady Gaga dan Bruno Mars menerusi lagu Die With A Smile menjadi karya paling popular di platform digital tempatan.
Tahun 2025 turut menyaksikan artis tempatan berjaya menembusi pasaran serantau melalui kerjasama strategik. Antara yang mencuri tumpuan ialah Ernie Zakri menerusi lagu Masing-Masing hasil kolaborasi bersama Ade Govinda, serta kumpulan Dolla yang bekerjasama dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii.
Selain itu, penyanyi Jessie Chung (JessC) turut mengharumkan nama negara selepas memenangi anugerah Best Asian Pop di InterContinental Music Awards (CMA) 2025 di Los Angeles menerusi lagu Mandarin, My Style.
Di sebalik pertumbuhan positif itu, RIM menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI) yang menggunakan muzik berhak cipta tanpa kebenaran untuk latihan model teknologi berkenaan.
Sehubungan itu, RIM mendesak agar pembaharuan perundangan dilaksanakan segera, termasuk mewajibkan pembangun AI mendapatkan lesen daripada pemegang hak serta memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi daripada 50 tahun kepada 70 tahun.
“Langkah ini penting bagi memastikan langkah perlindungan yang mencukupi serta menjamin imbuhan yang adil kepada penggiat seni dalam era teknologi yang semakin mencabar,” tambah Rosmin.




