IKLAN

Indonesia pertimbang pinjaman bagi bonus Aidilfitri

JAKARTA: Kementerian Perindustrian Indonesia mempertimbangkan kemungkinan menyediakan pinjaman kepada perusahaan dan syarikat bagi membayar bonus Aidilfitri (THR) kepada pekerja.

Kementerian itu berkata, keadaan ekonomi yang merudum akibat pandemik COVID-119 menyebabkan kebanyakan syarikat terpaksa membatalkan atau menangguhkan pembayaran bonus tahunan itu.

Menterinya, Agus Gumiwang Kartasasmita, berkata beliau sedang berbincang dengan bank pusat dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan berhubung perkara itu.

“Kita sedang menyiapkan skim pinjaman kecil untuk industri yang terjejas teruk bagi membolehkan mereka membuat pembayaran THR secara penuh kepada pekerja.

“Namun, terdapat beberapa syarikat yang mencapai persetujuan dengan kesatuan dan pekerja untuk membayar bonus THR secara ansuran,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, syarikat yang gagal mencapai persetujuan dengan kakitangan boleh memohon pinjaman berkenaan.

IKLAN

“Ketika dialog bersama persatuan syarikat perindustrian, mereka bersetuju membayar bonus THR kepada pekerja walaupun terpaksa membuat pinjaman daripada bank,” katanya.

Pandemik COVID-19 menjejaskan pelbagai kegiatan perniagaan di negara itu, berikutan arahan duduk di rumah bagi menghalang penularan wabak berkenaan.

Kebanyakan syarikat yang beroperasi di seluruh republik itu, terutama dalam sektor hospitaliti, terpaksa memberhentikan kakitangan atau meminta mereka mengambil cuti tanpa gaji.

Perbelanjaan isi rumah di Indonesia lazimnya meningkat secara ketara menjelang Ramadan dan Aidilfitri, berikutan pembayaran bonus oleh semua sektor.

Sebelum ini, Menteri Koordinator Ekonomi, Airlangga Hartarto, turut mengingatkan syarikat supaya menunaikan tanggungjawab mereka membayar THR, walaupun berdepan tekanan ekonomi akibat COVID-19.

Sementara itu, Kesatuan Majikan Indonesia menyerahkan cadangan kepada pejabat Menteri Koordinator Ekonomi dan Agensi Keselamatan Pekerja Sosial, meminta pembayaran THR ditangguhkan setahun berikutan krisis COVID-19. - AGENSI

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN