Ikuti Kami:

Imigresen Johor serbu lokasi panas PATI

Imigresen Johor serbu lokasi panas PATI

JOHOR BAHRU: Seramai 86 warga asing dan dua lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Johor dalam operasi serentak di tiga daerah di negeri ini, antara Isnin lalu hingga semalam.

Ia membabitkan pelbagai operasi seperti Ops Sapu, Ops Selera, Ops Pintu, Ops Mahir serta Ops Kutip menyasarkan 42 premis di kawasan ‘hotspot’.

Pemangku Pengarah Imigresen Johor, Mohd Faizal Shamsudin, berkata operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan maklumat awam mengenai warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mereka yang ditahan di Johor Bahru adalah 19 lelaki dan 11 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, 19 lelaki dan tiga wanita Myanmar, sembilan lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Pakistan serta seorang lelaki warga India.

PATI ditahan berusia antara enam bulan hingga 51 tahun dan turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang juga pemilik dan majikan premis.

“Di Batu Pahat pula, mereka yang ditahan adalah 14 lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia antara 20 tahun hingga 45 tahun dan turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang juga pemilik premis kilang yang diserbu.

“Di Segamat, mereka yang ditahan adalah tiga wanita warga Indonesia dan dua lelaki Pakistan masing-masing berusia antara 22 tahun hingga 43 tahun,” katanya.

Dalam operasi itu, seorang warga asing berusia 40 tahun dipercayai pembantu rumah didapati melarikan diri daripada majikan asal.

Dua warga tempatan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

“Sebanyak sembilan notis hadir ke pejabat dikeluarkan bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika.

Sumber
BHarian
Komen
Loading...