Ikuti Kami:

Iman Tang Tepis Tohmahan, Jelaskan Tiada Kaitan dengan Promosi Single Fazura

Iman Tang Tepis Tohmahan, Jelaskan Tiada Kaitan dengan Promosi Single Fazura

Pengurus kepada selebriti terkenal Nur Fazura, iaitu Iman Tang, menafikan sebarang keterlibatan dalam promosi single terbaru Fazura, Bertahan Demi Cinta, yang dipersembahkan dalam sebuah program bual bicara di Indonesia baru-baru ini.

Menurut Iman, beliau tidak terlibat dalam pengurusan projek tersebut, yang diatur sepenuhnya oleh Fazura Studios dan syarikat rakaman, Hits Records.

“Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, saya memang tiada kena mengena dengan projek lagu tersebut kerana ia diuruskan sendiri oleh pihak Fazura Studios dan Hits Records,” jelas Iman.

“Saya sendiri tidak tahu mengenai pemergian Fazura ke Indonesia untuk mempromosikan lagu itu dalam program berkenaan, kerana pada masa itu saya berada di luar negara.” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Iman turut meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui persembahan Fazura dalam rancangan tersebut tular di media sosial, sedangkan beliau langsung tidak dimaklumkan tentang acara tersebut.

“Rasa terkilan juga bila nama saya dipetik dan ada yang menyalahkan saya kerana kononnya tidak mengambil inisiatif untuk membimbing Fazura menjadi penyanyi yang lebih baik hingga dikecam netizen,” tambah Iman.

Nyanyian Fazura di Indonesia telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, yang rata-ratanya memberikan kritikan.

Ramai menganggap vokalnya tidak memenuhi jangkaan dan berpendapat Fazura masih perlu memperbaiki kemampuannya dalam bidang nyanyian. Situasi ini menyebabkan Iman dan Fazura menerima banyak kecaman di media sosial.

Sebelum ini, beberapa laporan media menyatakan bahawa Iman tidak mengetahui mengenai projek single tersebut dan menyelar pihak yang dianggap mengambil kesempatan ketika keadaan peribadi Fazura masih dalam perhatian umum.

Lagu ciptaan komposer terkenal Ippo Hafiz itu dilancarkan tidak lama selepas Fazura dan bekas suaminya, Fattah Amin, mengumumkan perpisahan mereka, yang menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

Namun, dalam satu kenyataan bersama antara Fazura Studios dan Hits Records, dinyatakan bahawa pelancaran single Bertahan Demi Cinta tidak berkaitan dengan isu peribadi Fazura dan Fattah.

Menurut kenyataan tersebut, tujuan utama pelancaran adalah untuk mengembangkan kerjaya muzik Fazura dan bukan bertujuan untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Komen
Loading...