Iman Tang Pertahan Tindakan Fazura Bawa Lima Pengawal Peribadi ke Mahkamah
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Pengurus kepada pelakon Nur Fazura, Iman Tang, tampil menjelaskan tindakan membawa lima pengawal peribadi ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling baru-baru ini.
Menurut Iman, langkah tersebut diambil bagi melindungi keselamatan Fazura, memandangkan dia pernah dikasari peminat.
“Ini bukan perkara baru bagi Fazura. Setiap kali dia menghadiri majlis besar, dia memang akan upah pengawal peribadi. Sebelum ini, dia pernah hadir ke Mahkamah Tinggi tanpa pengawal, keadaan jadi tidak terkawal, dan ada peminat yang bertindak kasar,” kata Iman.
Memetik OhBulan, Iman berkata langkah tersebut juga adalah sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka.
“Kami tak tahu keadaan di mahkamah bagaimana, jadi sebagai langkah berjaga-jaga, pengawal peribadi diperlukan. Saya juga berpesan kepada mereka untuk tidak berkasar dengan rakan media.”
Beliau juga tidak ambil peduli tentang spekulasi atau komen negatif dari netizen di media sosial.
“Kadang-kadang kita tak boleh terlalu peduli apa yang netizen cakap. Bila tak ada pengawal, mereka soal kenapa tak bawa. Bila bawa, mereka soal pula kenapa sampai lima,” tambah Iman lagi.
Sebelum ini, pada 13 September, Fazura memfailkan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin, dan kehadirannya di mahkamah menarik perhatian ramai kerana diiringi oleh lima pengawal peribadi.