Ikuti Kami:

Illa Sabry Janji Bangkit Selepas Persembahan Mengecewakan di Minggu Pertama GV11

Illa Sabry Janji Bangkit Selepas Persembahan Mengecewakan di Minggu Pertama GV11

Penyanyi Illa Sabry, yang kembali ke pentas seni selepas 20 tahun menyepi, mengakui kecewa dengan persembahan sulungnya menerusi lagu Keranamu Kekasih pada minggu pertama Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).

Menurut Illa, kedudukan di tempat terakhir tidak mengejutkan, namun ia tidak mematahkan semangatnya.

“Saya mengakui persembahan pada minggu pertama agak mengecewakan dan saya sudah dapat agak akan duduki tempat terakhir. Tetapi, perkara itu tidak langsung patahkan semangat saya. Baru minggu pertama, saya masih sedang menyesuaikan diri dan perlu berjuang,” katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu OST Gerak Khas pada 2001 itu turut menjelaskan cabaran menyesuaikan diri dengan perubahan dalam industri muzik.

“Pentas GV adalah satu pentas yang agak besar untuk saya selepas 20 tahun tidak menyanyi. Tambahan lagi, lagu Keranamu Kekasih juga sebuah lagu yang susah. Saya rasa stamina sedikit kurang dan juga penafasan. Saya tidak biasa dengan ear monitor, zaman dulu nyanyi ‘monitor’ di bawah. Sekarang di telinga,” ujarnya.

Illa atau nama sebenar Fasillah Sabry, 45 juga berkongsi usahanya memperbaiki mutu vokal dengan mengambil kelas bersama Afif Tarmizi dan Noryn Aziz sebagai persediaan untuk GV11.

Ketika ditanya mengenai keputusannya menyertai GV11, Illa menyatakan bahawa sokongan peminat menjadi faktor utama.

“Pada 2001 saya popular dengan lagu OST Gerak Khas, kemudian 2003 saya dah mula senyap. Saya fokus dengan pengajian. Habis belajar, saya kerja dan buat bisnes. Jujur saya katakan memang dah berhenti menyanyi, tetapi atas sokongan peminat, saya terima pelawaan untuk masuk GV11.”

Penyanyi itu turut berkongsi cabaran fizikal yang dihadapi ketika persediaan untuk penampilannya dalam GV11.

“Untuk buat comeback ini pun berat badan saya turun disebabkan terlalu stres. Berat saya sekarang 67kg, dulu 86kg,” tambahnya.

Illa berazam untuk terus memperbaiki persembahannya di minggu-minggu mendatang dan membuktikan dirinya mampu bersaing di pentas besar seperti GV11.

Komen
Loading...