Ikuti Kami:

ILBAI Bongkar Penipuan “The High Table” & “Unboxing”: Jualan Barangan Tiruan & Ugutan Terhadap Pengguna

ILBAI Bongkar Penipuan “The High Table” & “Unboxing”: Jualan Barangan Tiruan & Ugutan Terhadap Pengguna

International Luxury Brands Authentication Institute (ILBAI) hari ini mengadakan sidang media khas di Barrister’s Brew, Desa Sri Hartamas bagi mendedahkan penipuan berskala besar melibatkan platform e-dagang “The High Table” dan “Unboxing”.

Platform-platform ini didakwa menjual barangan mewah tiruan serta menggunakan taktik ugutan terhadap pengguna yang mempertikaikan ketulenan produk yang dibeli.

Menurut ILBAI, pihak mereka menerima banyak aduan daripada mangsa yang mendakwa telah diperdaya oleh individu di sebalik “The High Table” dan “Unboxing”, iaitu Aw Chee Koon.

Individu ini didakwa menjual barangan mewah tiruan yang disamar sebagai produk asli dan menolak sebarang permintaan bayaran balik daripada pelanggan yang menyedari penipuan tersebut.

Lebih membimbangkan, pengguna yang bersuara telah menerima ugutan dan ancaman bagi menutup mulut mereka.

Pihak ILBAI turut mendedahkan taktik licik yang digunakan oleh platform ini untuk menipu pelanggan, termasuk penggunaan akaun palsu bagi mencipta rekod jualan yang mengelirukan serta penyebaran maklumat tidak benar di media sosial.

Malah, terdapat kes di mana laporan polis dibuat secara fitnah terhadap mangsa bagi menekan mereka daripada terus menuntut hak mereka.

Melihat kepada keseriusan kes ini, ILBAI telah mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman terhadap “The High Table” dan “Unboxing” serta individu-individu yang terlibat dalam penipuan ini.

Sebagai langkah sokongan kepada mangsa, ILBAI juga menawarkan perkhidmatan pengesahan barangan mewah secara percuma serta bantuan guaman bagi memastikan hak pengguna dilindungi.

Sidang media ini turut disertai oleh beberapa individu yang menjadi mangsa penipuan, termasuk Loh Yip Hong, Loh Chun Yun, Tan Yin Yin, serta Chua Giz Wei dan Jac Goh yang menyertai secara maya melalui Zoom.

Mereka berkongsi pengalaman pahit akibat tertipu oleh platform-platform ini dan menyeru tindakan lebih tegas diambil terhadap sindiket penipuan dalam industri e-dagang.

ILBAI berharap dengan pendedahan ini, lebih ramai pengguna akan lebih berhati-hati dalam membeli barangan mewah secara dalam talian serta membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

Komen
Loading...