Ikuti Kami:

Ikon Muzik Dan Kemanusiaan Nepal, Nepathya Umum Konsert Sulung Di Malaysia

Ikon Muzik Dan Kemanusiaan Nepal, Nepathya Umum Konsert Sulung Di Malaysia

Kumpulan muzik folk-rock ikonik dari Nepal, Nepathya, bakal mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Jun depan.

Konsert satu malam itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah global 2026 mereka, sekali gus menandakan pencapaian penting buat kumpulan yang terkenal dengan gabungan unik melodi rakyat dan rentak rock moden ini.

Diterajui oleh vokalis utama, Amrit Gurung, Nepathya bukan sekadar kumpulan muzik biasa; mereka dianggap sebagai “penjaga” identiti budaya Nepal yang konsisten memperjuangkan isu sosial dan kemanusiaan selama lebih tiga dekad.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1990, kumpulan ini telah melalui evolusi muzik yang matang dengan penglibatan 24 pemuzik berbeza, namun tetap mengekalkan komitmen teguh terhadap jati diri negara pergunungan tersebut menerusi 10 album popular mereka.

Selain kejayaan seni, Nepathya dikenali menerusi penglibatan aktif dalam kerja amal menerusi inisiatif seperti ‘Education for Peace’, iaitu siri jelajah yang mengumpul jutaan rupee bagi memastikan sekolah-sekolah di Nepal bebas daripada pengaruh politik dan keganasan.

Kumpulan ini juga pernah menyumbang lebih 4 juta NPR untuk mangsa gempa bumi Nepal dan 10 juta NPR kepada Manavsewa Ashram bagi menyokong golongan warga emas serta golongan yang memerlukan.

Peminat di Malaysia boleh menjangkakan sebuah persembahan bertenaga dan penuh emosi, merangkumi lagu-lagu hits awal 90-an seperti ‘Chekyo Chekyo’ sehinggalah ke lagu anthemic folk-rock seperti ‘Resham’ dan ‘Sa Karnali’.

Sebelum ini, Nepathya telah mengadakan lebih 110 konsert di 19 buah negara, termasuk di lokasi berprestij dunia seperti Wembley Arena di London dan Manhattan Centre di New York.

Konsert di Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh LFG Entertainment dengan kerjasama DJ Reet Entertainment, Arbitrary Events serta Ticket2U.

Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my/nepathya dengan pintu dewan akan dibuka bermula jam 7 malam.