Ikhwan Fatanna Raikan Kelahiran Anak Sulung dengan Lagu ‘Cahaya Mata’
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Ikhwan Fatanna, telah menghasilkan sebuah lagu istimewa berjudul Cahaya Mata, yang didedikasikan khusus untuk anak sulungnya, Yusuf Musa Mohamad Fatanah, yang dilahirkan pada 17 September lalu.
Lagu ini melambangkan kebahagiaan Ikhwan sebagai seorang bapa, merakamkan emosi penuh kasih sayang dan syukur terhadap anugerah terbesar dalam hidupnya.
Lagu Cahaya Mata, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan, membawa mesej keindahan dan kegembiraan menjadi ibu bapa.
Dengan melodi lembut dan penuh emosi, lagu ini mencerminkan kedamaian dan keintiman hubungan antara seorang bapa dan anaknya, serta perasaan syukur atas kehadiran insan yang membawa sinar baru dalam kehidupannya bersama isteri tercinta.
“Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu Cahaya Mata, sebagai tanda penghargaan untuk momen yang cukup indah yang saya dan isteri lalui.
Lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam keluarga,” kata Ikhwan.
Menurut Ikhwan, lagu tersebut mula tercipta semasa isterinya sedang hamil lima bulan.
Kegembiraan dan rasa syukur yang dirasainya ketika itu mendorongnya untuk mencipta lagu yang akan menjadi kenangan bersama keluarga.
Walaupun pada mulanya lagu ini dirancang untuk simpanan peribadi, isteri Ikhwan mencadangkan agar ia dikongsi dengan orang ramai.
“Kalau tak silap saya ketika usia kandungan lima bulan. Oleh kerana saya berasa terlalu gembira dan bersyukur sangat ketika itu, saya nak terjemahkan rasa itu di dalam sebuah lagu,” tambah Ikhwan.
Lagu Cahaya Mata dilancarkan pada 18 Oktober 2024, bersamaan dengan genap sebulan usia anak sulungnya.
Lagu ini diharapkan dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan banyak keluarga di luar sana, membawa elemen kebahagiaan dan syukur yang turut dirasai Ikhwan.
“Saya berharap lagu ini dapat sambutan yang baik daripada semua dan pendengar dapat menikmati keindahan mesej di dalamnya,” katanya.
Lagu Cahaya Mata kini boleh mula distrim di platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, manakala video muzik rasminya akan dilancarkan di YouTube Nova Music pada jam 3 petang, 18 Oktober 2024 di pautan ini https://youtu.be/Cc8EkT-Qw4k