Ikuti Kami:

Idea Live Arena Perkenal Fasiliti Bertaraf Dunia, Sasar Tarik Pelancong Global

Idea Live Arena Perkenal Fasiliti Bertaraf Dunia, Sasar Tarik Pelancong Global

Landskap hiburan Malaysia menerima suntikan baharu hari ini dengan pembukaan rasmi Idea Live Arena, arena hiburan bertaraf antarabangsa yang terletak di pusat beli-belah 3 Damansara.

Dengan kapasiti sehingga 7,000 tetamu dalam susunan duduk dan berdiri, Idea Live Arena tampil sebagai arena tertutup terbesar dalam pusat beli-belah di negara ini dan kedua terbesar secara keseluruhan.

Dibangunkan dengan pelaburan RM40 juta, arena ini dilengkapi sistem audio, pencahayaan dan visual bertaraf dunia, ruang legar sambutan yang luas, bilik persalinan artis serba lengkap, serta lima kotak VIP mewah.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, dihadiri pemain industri hiburan, tetamu kehormat, dan peminat.

Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Dato’ Sheila Majid, yang memperlihatkan kehebatan sistem teknikal arena berkenaan.

Mengulas pembukaan itu, Pengarah Urusan Idea Live Arena, Jason Lim, berkata fasiliti bertaraf antarabangsa yang ditawarkan mampu menarik penganjur acara global serta pelancong antarabangsa ke Malaysia.

“Dengan fasiliti bertaraf dunia ini, kami yakin Idea Live Arena akan menjadi destinasi utama untuk hiburan langsung di rantau ini, sekaligus menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Azmir berkata pembukaan arena ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem industri kreatif negara.

Menurut beliau, fasiliti seperti Idea Live Arena bukan sahaja mengalu-alukan produksi antarabangsa tetapi juga menyediakan platform untuk bakat tempatan bersinar di peringkat global.

Kerajaan turut memperkenalkan inisiatif Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) dengan peruntukan RM10 juta setahun bermula 15 Mei 2025 untuk menyokong penganjuran acara berskala besar yang menarik lebih 15,000 pengunjung dan melibatkan penyertaan artis tempatan serta antarabangsa.

Kewujudan Idea Live Arena dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, menghidupkan semula suasana bandar, dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan budaya dan hiburan serantau.

Pembukaan ini turut memberi harapan baharu dalam usaha negara menarik lebih ramai pelancong dan meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai pusat hiburan bertaraf antarabangsa menjelang Visit Malaysia 2026.

Komen
Loading...