Ikuti Kami:

IDEA 2025: Pengiktirafan Berprestij Usahawan Islam

IDEA 2025: Pengiktirafan Berprestij Usahawan Islam

Anugerah Tertinggi Usahawan Islam, Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025, kembali buat kali kedua, memberi penghormatan kepada syarikat-syarikat yang menggabungkan prinsip perniagaan moden dengan etika Islam.

Majlis penuh gemilang ini berlangsung di Le Meridien Hotel, Putrajaya, dianjurkan oleh KNKV Group dengan pengiktirafan Dewan Perniagaan Muslim Insiders.

Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Profesor (Adj) Haji Adam Richman, menegaskan kepentingan anugerah ini sebagai medan inspirasi kepada usahawan Islam.

“Kami ingin lebih ramai usahawan berani mengamalkan prinsip Syariah dalam operasi mereka. Ini bukan sahaja tentang meraikan kejayaan, tetapi memperkukuh integriti ekonomi ummah,” katanya.

Para penerima anugerah malam itu turut berkongsi pengalaman dan visi mereka dalam membawa nilai-nilai Islam ke dalam dunia perniagaan.

Kisah inspirasi mereka bukan sahaja membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai dengan integriti, tetapi juga menjadi panduan kepada usahawan lain.

Hajah Ida Riswana Idris, pengasas dan pengarah Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, menerima Crown of Commerce Brand Award atas kejayaannya memperjuangkan perniagaan umrah yang profesional dan berintegriti.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan pengiktirafan ini. Ia adalah bukti usaha kami untuk memastikan pengelolaan ibadah umrah umat Islam di Malaysia lebih teratur dan berkualiti. Penghargaan ini adalah untuk seluruh pasukan saya yang bekerja keras,” katanya ketika ditemui.

Tengku Norhanim Tengku Othman, Ketua Pegawai Eksekutif NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, yang turut menerima Crown of Commerce Brand Award, berkongsi kisah kejayaan syarikatnya yang kini berjaya menembusi pasaran 15 negara.

“Alhamdulillah, kejayaan ini hasil usaha pasukan kami. Kami bercadang untuk memperluas lagi pasaran ke Timur Tengah dan negara lain. Harapan kami adalah untuk terus memperkenalkan produk makanan dan minuman yang menjadi pilihan pelanggan,” katanya.

Dr. Nazelia Thibroni dari Nazelia Aesthetics Sdn Bhd, penerima Distinguished Quality Products Award, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai dorongan untuk terus maju.

“Alhamdulillah, anugerah ini meningkatkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik. Sebagai doktor Muslim, visi kami adalah mengintegrasikan rawatan kecantikan berasaskan nilai Islam dalam industri perubatan. Ini adalah bukti bahawa kualiti dan etika Islam boleh bergerak seiring,” jelas beliau.

Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama tokoh industri dari dalam dan luar negara.

IDEA 2025 terus menjadi simbol kebangkitan ekonomi ummah dengan menekankan ketelusan, tanggungjawab sosial, dan nilai Islam sebagai teras utama.

Komen
Loading...