Hype Republic: Platform Baharu Bakat Muda Tempatan Gegar Stadium Hoki Bukit Jalil 13 Disember Ini
- oleh Mohd Indera
- 3 hari lalu

Konsert Hype Republic yang bakal berlangsung pada 13 Disember 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bukan sekadar acara hiburan berskala besar, malah menjadi platform baharu untuk mengetengahkan bakat muda tempatan ke pentas arus perdana.
Dianjurkan oleh DM Diamond Sdn. Bhd., konsert ini menghimpunkan artis-artis generasi baharu dari pelbagai genre muzik seperti EDM, hip-hop, pop, K-Pop, J-Pop dan alt-indie. Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam membuka ruang kepada anak muda tempatan untuk bersinar di tanah air sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif DM Diamond Sdn. Bhd., En. Isa, berkata pihaknya mahu menjadikan Hype Republic sebagai medan eksklusif bagi memartabatkan artis-artis tempatan, khususnya dari kalangan generasi Z dan Alpha.
“Artis yang kita ketengahkan adalah artis-artis kita sendiri, bakat-bakat muda dari Malaysia yang berpotensi besar. Kita lihat banyak konsert besar dipenuhi artis luar, jadi apa salahnya kita beri peluang kepada anak tempatan yang tidak kurang hebatnya untuk berada di pentas utama,” katanya.
Tambahnya lagi, Hype Republic memberi kelainan bukan hanya dari segi pemilihan artis, tetapi juga dari aspek ganjaran kepada penonton. Tiket konsert dengan tawaran diskaun 20 peratus yang berharga RM188 akan mula dijual bermula 14 Jun hingga 14 Julai 2025.
“Selain diskaun, pembeli awal tiket juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah menarik seperti motosikal, PS5 dan iPhone. Malah, tiket juga didatangkan bersama barangan eksklusif seperti baju rasmi konsert,” katanya.
Barisan artis yang dijadual membuat persembahan termasuk Kmy Kmo & Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Bunga, Zubir Khan, K.O.I, serta seorang lagi artis kejutan yang akan diumumkan kelak.
Menurut En. Isa, promosi dan informasi terkini mengenai konsert akan terus dikongsi melalui platform digital dan media sosial Hype Republic dalam masa terdekat.
“Kami mahu masyarakat, khususnya generasi muda, hadir bukan sekadar untuk menyokong, tetapi menjadi sebahagian daripada gelombang baharu dalam dunia muzik tempatan,” ujarnya.
Tiket boleh didapati di laman https://hyperepublic.ubertickets.asia/ mulai 14 Jun ini.
Konsert Hype Republic dijangka mencipta sejarah sebagai pentas penting untuk memperkasakan industri muzik tanah air dan menonjolkan kekuatan sebenar bakat anak Malaysia.