Ikuti Kami:

HydroShoppe Bawa Kes Menara KL ke Mahkamah, Dakwa LSH Capital Bermain Helah

HydroShoppe Bawa Kes Menara KL ke Mahkamah, Dakwa LSH Capital Bermain Helah

HydroShoppe Sdn Bhd, pemegang saham tunggal Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), telah membawa pertikaian mengenai pengambilalihan operasi Menara Kuala Lumpur oleh Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) ke mahkamah, mendakwa syarikat tersebut bermain helah dan gagal memenuhi syarat perjanjian.

Dalam satu kenyataan, HydroShoppe menegaskan bahawa LSH Capital tidak menyerap kesemua 205 kakitangan MKLSB seperti yang dipersetujui.

“Kami telah meminta agar semua kakitangan MKLSB diserap berdasarkan prinsip ‘no less favorable’. Namun, LSH Capital melengahkan proses dan menawarkan syarat pekerjaan yang kurang menguntungkan,” kata kenyataan itu.

“Akibatnya, MKLSB terpaksa menanggung pembayaran pampasan pemberhentian kerja (TLOB) sebanyak RM2.69 juta, satu tindakan yang kami anggap sebagai penganiayaan terhadap syarikat kami,” tambahnya.

HydroShoppe turut mendakwa bahawa tawaran pekerjaan diberikan secara selektif.

“Maklumat daripada bekas kakitangan kami menunjukkan bahawa ramai pekerja, khususnya Bumiputera, menerima manfaat yang lebih rendah berbanding tawaran asal MKLSB. Ini bertentangan dengan gambaran yang diberikan oleh LSH Capital dalam kenyataan media mereka,” tegas HydroShoppe.

Berhubung pengurusan Menara Kuala Lumpur selepas 1 April 2025, HydroShoppe menyatakan bahawa pihaknya berhak meneruskan operasi sementara menunggu keputusan mahkamah.

“Kami telah membawa kes ini ke mahkamah, dan LSH Capital tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas atau mengganggu kelangsungan operasi kami,” kata kenyataan itu lagi.

Mengenai tuduhan ’employee raiding’, HydroShoppe menegaskan, “LSH Capital dilihat cuba mengambil pekerja kami secara agresif dengan cara yang tidak sah.

Ini jelas satu usaha untuk mengganggu operasi Menara Kuala Lumpur.”

Selain itu, HydroShoppe menegaskan bahawa semua akaun bil utiliti masih berdaftar atas nama MKLSB.

“Sehingga kini, tiada sebarang permohonan daripada LSH Capital untuk mengambil alih akaun ini. Ini menunjukkan dakwaan mereka bahawa mereka mempunyai keupayaan mengambil alih operasi pada 1 April 2025 adalah tidak berasas.” katanya.

HydroShoppe menggesa agar LSH Capital dan Kementerian Komunikasi menghormati proses perundangan.

“Kami menyeru pihak berkaitan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan menunggu keputusan mahkamah sebelum membuat sebarang tindakan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.

Pertikaian ini bermula apabila LSH Capital diumumkan sebagai pihak yang akan mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur daripada MKLSB.

Foto Oleh: BH.

Komen
Loading...