Ikuti Kami:

Hulu Terengganu Daerah Paling Patuh PKPB

Hulu Terengganu Daerah Paling Patuh PKPB

Hasil tinjauan dan pemerhatian yang dijalankan oleh Pejabat Penerangan Hulu Terengganu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikuatkuasakan sejak 4 Mei 2020 yang lalu mendapati majoriti masyarakat di dalam daerah ini sentiasa mematuhi aspek keselamatan dan kawalan kendiri yang tinggi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan, Mohd Adli Mat Daud berkata, Hulu Terengganu boleh dikategorikan sebagai daerah paling patuh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB di dalam Negeri Terengganu.

“Penduduk Hulu Terengganu terus komited mematuhi PKP dan PKPB sejak ia dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19 dan menjadikan Hulu Terengganu kekal sebagai daerah tunggal yang masih selamat daripada wabak pandemik di negeri ini.

“Meskipun Hulu Terengganu kekal berada pada zon hijau sehingga hari ini, penduduk tetap dinasihatkan untuk keluar hanya jika ada urusan yang penting untuk menjaga keselamatan semua agar tidak terdedah kepada bahaya dan dapat memutuskan rantaian wabak ini,” katanya ketika ditanya mengenai kepatuhan masyarakat di daerah ini.

Ketika ini, masyarakat di dalam daerah ini telah mula menerima perilaku daripada sifat kebiasaan kepada normal baharu yang mungkin agak sukar pada permulaan, tetapi dapat menerima sedikit demi sedikit perubahan berkenaan.

Bukan itu sahaja, tinjauan di lokasi lain yang sering menjadi tumpuan orang ramai seperti di Pasar Besar Kuala Berang juga mendapati pengunjung dan para peniaga sentiasa mematuhi arahan agar melakukan penjarakan sosial.

Masyarakat di sini telah mula timbul kesedaran di dalam diri masing-masing bahawa wabak pandemik ini tidak akan berjaya “dipatahkan” atau pun diberhentikan kecuali mengamalkan sikap mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada masyarakat di dalam daerah ini yang sentiasa berdisiplin serta mematuhi arahan PKP dan PKPB bagi memudahkan petugas barisan hadapan menangani krisis ini dengan baik sekaligus berjaya mengekalkan daerah ini sebagai sifar positif COVID-19 dan seterusnya berada di zon hijau sehingga ke hari ini.

“Masyarakat juga perlu terus berusaha dengan lebih kuat bagi menentukan dan mengekalkan kejayaan ini pada masa akan datang,” katanya.

Sumber : MalaysiaAktif

Komen
Loading...