Hujan Bukan Penghalang, 12,000 Penonton ‘Cari Jodoh’ Bersama Wali Band
- oleh MDaily Editor
- 2 May 2026 1:56 pm
Meskipun hujan lebat membasahi ibu kota seawal petang, ia sedikitpun tidak melunturkan semangat hampir 12,000 peminat untuk membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Wali Kembali, malam tadi.
Kehadiran luar biasa itu membuktikan kumpulan pop rock tersohor dari Indonesia, Wali Band, masih mempunyai pengaruh magis yang kukuh dalam kalangan peminat di Malaysia selepas sekian lama tidak beraksi di pentas berskala besar di sini.
Konsert anjuran bersama GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures itu bermula tepat jam 8.30 malam, sebaik sahaja hujan mula reda, sekali gus disambut dengan sorakan gemuruh penonton yang ada di antaranya sudah mula berkumpul di perkarangan stadium seawal jam 4 petang.
Wali Band yang dianggotai oleh Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram), dan Ovie (keyboard) tampil dengan energi luar biasa, berjaya membuatkan seluruh stadium “histeria” apabila mendendangkan rangkaian lagu-lagu hit mereka seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh, dan Baik-Baik Sayang.

Vokalisnya, Faank, dilihat beberapa kali menzahirkan rasa terharu dan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi peminat tempatan yang tidak henti-henti menyanyi dan menari bersama sepanjang dua jam persembahan berlangsung.
“Sokongan dan semangat luar biasa anda semua malam ini adalah kekuatan bagi kami untuk memberikan persembahan yang terbaik,” katanya di atas pentas.
Sesuai dengan imej “dakwah hiburan” yang sinonim dengan identiti mereka, konsert tersebut bukan sekadar hiburan kosong. Wali Band turut mengambil kesempatan mengajak penonton mengalunkan zikir dan menitipkan doa buat keselamatan serta kesejahteraan umat Islam.
Suasana stadium bertukar hiba dan penuh keinsafan apabila kumpulan itu memimpin bacaan Al-Fatihah buat para hadirin serta mendoakan agar urusan peminat dari pelbagai latar belakang dipermudahkan.
Selain itu, sebagai tanda solidariti terhadap isu kemanusiaan sejagat, Wali Band turut menyampaikan doa khusus buat rakyat Palestin, sekali gus membawa mesej perdamaian dan kasih sayang yang menjadi teras dalam setiap karya mereka.
