Ikuti Kami:

Hubungan Ayah-Anak Tetap Utuh, Fattah Amin Puji Peranan Fazura Sebagai Ibu

Hubungan Ayah-Anak Tetap Utuh, Fattah Amin Puji Peranan Fazura Sebagai Ibu

Pelakon dan penyanyi terkenal, Fattah Amin, menegaskan bahawa hubungan eratnya dengan anak perempuan, Fatima Aisya, kekal utuh walaupun sering sibuk dengan kerjaya.

Fattah mengakui bahawa keadaan keluarga telah berubah berbanding ketika Fatima lebih kecil, namun kasih sayang antara mereka tidak pernah berkurang.

“Bila saya jumpa dia, Fatima cakap, ‘I love daddy, I miss daddy.’ Kami banyak berbual. Itu yang penting. Hubungan kami tetap kuat walaupun masa saya dengannya agak terhad sekarang,” katanya.

Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, turut memuji peranan Fazura sebagai ibu yang bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan emosi Fatima, yang kini berusia 4 tahun.

“Fazura seorang ibu yang sangat bertanggungjawab. Dia cuba yang terbaik untuk membantu Fatima memahami situasi secara perlahan-lahan. Sebagai ibu bapa, kami berdua sepakat untuk tidak memaksa Fatima dan membiarkan dia belajar mengikut rentaknya sendiri,” ujar katanya kepada media selepas Majlis Meet and Greet Bersama Duta Jakel yang diadakan di Jakel Shah Alam.

Fattah menambah bahawa dia dan Fazura sentiasa berusaha memberikan kasih sayang serta panduan terbaik untuk memastikan Fatimah membesar dalam suasana yang positif.

Mengulas mengenai kontroversi video Fatima yang tular di media sosial, Fattah menjelaskan bahawa Fatima masih kecil dan apa yang dikatakannya bersifat spontan serta naif.

“Fatima baru 4 tahun. Dia masih belajar memahami dunia sekelilingnya. Saya dan Fazura cuba perlahan-lahan untuk membimbing dia tanpa tekanan,” katanya.

Bagi Fattah, penting untuk memahami emosi seorang kanak-kanak. Dia percaya bahawa dengan sokongan Fazura, Fatima akan dapat menyesuaikan diri dengan baik walaupun dikelilingi perhatian ramai.

Pelakon filem Pendekar Awang itu turut menyeru masyarakat agar berhenti mengecam atau menilai situasi anaknya tanpa memahami konteks sebenar. Sebaliknya, dia mengharapkan doa dan sokongan daripada semua pihak.

“Saya harap orang ramai bersangka baik. Jangan cepat menilai atau mengecam. Doa yang baik-baik untuk Fatima, itu yang kami perlukan sebagai ibu bapa,” ujarnya dengan penuh harapan.

Fattah dan Fazura bernikah pada 27 November 2017 dan sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.

Rentetan itu, hak penjagaan anak menjadi milik Fazura manakala Fattah diberikan hak lawatan dan bermalam.

Komen
Loading...