Hotel Sunway Putra Tawar Iftar Istimewa Santapan Ramadan Serantau
- oleh MDaily Editor
- 20 Jan 2026 12:39 pm
Ramadan tahun ini kian menjelma dan masih tercari-cari lokasi berbuka puasa yang selesa, meriah dan sarat dengan variasi makanan, Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur sememangnya destinasi yang wajib berada dalam senarai.
Menerusi Santapan Ramadan Serantau 2026, Kopi Haus di Tingkat 9 tampil dengan konsep unik yang menghimpunkan pelbagai cita rasa Asia Tenggara dalam satu bufet iftar yang menyelerakan.
Pengalaman berbuka di sini bukan sekadar makan malam, sebaliknya satu perjalanan rasa yang membawa tetamu menjelajah negara-negara ASEAN hanya melalui hidangan di hadapan mata.
Seawal melangkah masuk ke ruang bufet, aroma rempah ratus yang harum serta deretan hidangan berwarna-warni sudah cukup membangkitkan selera selepas seharian berpuasa.

Bufet ini menampilkan sajian dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Singapura, Filipina, Myanmar, Brunei, Laos dan Timor Leste, menjadikannya antara bufet Ramadan paling pelbagai di ibu kota.
Setiap menu disediakan menggunakan resipi autentik dan teknik tradisional bagi memastikan keaslian rasa dikekalkan tanpa menjejaskan kualiti hidangan.
Bagi memulakan iftar, pilihan pembuka selera segar seperti Kerabu Daun Teh Burma, Som Tam Thai, Kerabu Ayam Vietnam, Kilawin Filipina dan Umai Udang menjadi pembuka yang tepat untuk ‘memanaskan’ selera.
Apabila tiba hidangan utama, tetamu disajikan dengan pelbagai pilihan yang benar-benar mengenyangkan dan memuaskan.
Antara yang menjadi kegemaran ramai ialah Nasi Briyani bersama Kambing Panggang yang lembut dan kaya rempah, dimasak perlahan sehingga setiap suapan terasa penuh rasa.
Sajian ikonik lain seperti Ketam Bercili Singapura bersama mantau, Ayam Katok Brunei yang rangup serta Sotong Pedas ala Thai Basil turut mencuri perhatian pengunjung.
Bagi pencinta sup dan mi, Pho Daging Lembu Vietnam yang panas dan beraroma sangat sesuai dinikmati untuk menghangatkan perut selepas seharian berpuasa.

Keunikan konsep serantau turut diserlahkan dengan sajian Ikan Bakar-Bakar Timor Leste yang diperap sos cili asam jawa, ringkas tetapi kaya dengan rasa tradisi.
Suasana berbuka menjadi lebih hidup dengan kehadiran stesen masakan langsung yang menyajikan Laksa Johor, sate pelbagai jenis, martabak Indonesia serta Roti John yang disediakan segar.
Bagi penggemar masakan tempatan, sudut Rebus Asam Pedas dan Sup Tulang Berempah menawarkan rasa padu yang mengimbau keenakan masakan rumah.
Peminat makanan laut pula pasti teruja dengan pilihan premium seperti Udang Kara Selipar masak Lemak Cili Api, Udang Harimau, pelbagai kerang segar serta Kepala Ikan Salmon Kari Mamak dari stesen ‘Chef’s Special Kawah’.
Selepas menikmati hidangan utama, bahagian pencuci mulut pula menanti dengan pelbagai manisan dari seluruh rantau ASEAN.
Antara yang menjadi tumpuan ialah Kek Lapis Indonesia, Kek Madu Vietnam, Puding Labu Kemboja, Maja Blanca Filipina, Red Ruby Thai serta sudut Ais Kacang dan Cendol.
Pengurus Besar Kanan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur, Wilfred Yeo berkata, konsep bufet tahun ini dirangka bagi memberi pengalaman berbuka yang lebih bermakna kepada para tetamu.
“Santapan Ramadan Serantau bukan sekadar bufet berbuka puasa, tetapi satu pengalaman yang menghimpunkan rasa, tradisi dan kebersamaan negara-negara ASEAN.
“Kami mahu tetamu menikmati suasana yang selesa, hidangan berkualiti dan detik bermakna bersama keluarga serta rakan sepanjang Ramadan,” katanya.
Bermula 20 Februari hingga 20 Mac 2026, jadikan Hotel Sunway Putra pilihan anda untuk berbuka puasa dan rasai sendiri kemeriahan Ramadan yang dipenuhi rasa, suasana dan kenangan manis.
Menariknya, hotel itu turut menawarkan harga istimewa untuk bufet Santapan Ramadan Serantau 2026 bagi mereka yang membuat tempahan awal.
Melalui promosi tempahan awal yang terhad, tetamu boleh menikmati bufet Ramadan pada harga RM144.00 untuk seorang dewasa, berbanding harga biasa RM169.00, menjadikannya pilihan berbaloi untuk berbuka bersama keluarga dan rakan-rakan.
Bagi yang ingin menikmati pengalaman Ramadan lebih santai tanpa perlu tergesa-gesa pulang, Hotel Sunway Putra turut memperkenalkan pakej penginapan eksklusif Iftar & Indulgence Retreat.
Pakej 2 hari 1 malam ini merangkumi penginapan bersama sahur untuk dua dewasa, bufet iftar Santapan Ramadan Serantau untuk dua orang dewasa serta naik taraf bilik percuma dari Superior ke Deluxe, tertakluk kepada ketersediaan.
Dengan harga bermula dari RM608+ satu bilik semalam, pakej ini sesuai untuk pasangan, keluarga kecil mahupun mereka yang ingin menghadiahkan diri sendiri pengalaman Ramadan yang lebih selesa, tenang dan bermakna.




