Ikuti Kami:

Hotel Mewah Crockfords Diakui Antara Terbaik Malaysia Dan Asia Pasifik

Hotel Mewah Crockfords Diakui Antara Terbaik Malaysia Dan Asia Pasifik

Hotel Crockfords, permata mewah di Resorts World Genting (RWG), terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila diiktiraf antara tiga terbaik dalam kategori “Resort Pantai, Pulau dan Tanah Tinggi Terbaik di Malaysia” menerusi anugerah berprestij Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific 2025.

Anugerah yang berlangsung di Bangkok itu turut menyaksikan RWG tersenarai dalam lapan teratas bagi kategori “Resort Bersepadu Terbaik”, menjadikan kedua-dua pengiktirafan tersebut sebagai bukti kukuh terhadap keunggulan RWG dalam menawarkan destinasi percutian gaya hidup bertaraf dunia.

Pengiktirafan ini merupakan pencapaian sulung Crockfords dalam anugerah berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan hotel tersebut sebagai antara peneraju utama hospitaliti mewah di rantau ini.

Dengan terletaknya di tanah tinggi Genting pada ketinggian 6,000 kaki dari paras laut, Crockfords menawarkan suasana nyaman yang menggabungkan keindahan semula jadi dengan sentuhan reka bentuk dalaman elegan yang diinspirasikan daripada kediaman klasik bandar London.

Setiap ruang hotel daripada lobi yang menampilkan arca pokok emas mengagumkan hingga ke vila dan suite mewah direka untuk memberikan pengalaman penginapan eksklusif, selesa dan berkelas tinggi kepada setiap tetamu.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata pencapaian ini amat bermakna bagi pihaknya, lebih-lebih lagi ia diraikan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 Resorts World Genting.

“Kami amat terharu atas pengiktirafan yang diterima, dan ini mencerminkan usaha konsisten pasukan kami dalam mempersembahkan layanan hospitaliti bertaraf antarabangsa. Kami akan terus komited untuk mengekalkan standard tinggi ini,” katanya.

Crockfords turut menyediakan pelbagai jenis penginapan bagi memenuhi kehendak pelancong individu, keluarga mahupun korporat termasuk vila peribadi, suite utama bertema, junior suite dan bilik superior.

Tetamu juga boleh menikmati akses mudah ke pelbagai tarikan RWG termasuk Taman Tema Genting SkyWorlds, restoran eksklusif, serta pusat beli-belah bertaraf antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Crockfords dan promosi istimewa sempena sambutan ulang tahun RWG ke-60, orang ramai boleh melayari www.rwgenting.com atau mengikuti saluran media sosial rasmi RWG.

Komen
Loading...