
Hong Leong Bank (HLB) menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dengan melancarkan kempen istimewa bertajuk ‘Senyum-Senyum Raya’.
Kempen ini menampilkan lagu dan video muzik Raya baharu yang dinyanyikan oleh duta HLB, Alif Satar, bersama kumpulannya, The Locos.
Lagu Senyum-Senyum Raya, hasil ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy, dan Ja’a, membawa mesej kesyukuran dan kegembiraan sempena musim perayaan.
Lagu ini bertujuan untuk menyebarkan semangat positif dan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup kewangan yang lebih mampan.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal, lagu dan video muzik ini merupakan inisiatif unik yang berbeza daripada kempen sebelum ini.
“Kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap amalan baik membawa kegembiraan dan kesyukuran. Hari Raya bukan hanya tentang perayaan tetapi juga tentang menghargai usaha dan kejayaan sepanjang tahun. Kami berharap lagu ini dapat menginspirasi rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan pengurusan kewangan yang bijak,” katanya.
Sementara itu, Alif Satar menyatakan bahawa lagu tersebut bukan sekadar hiburan tetapi juga membawa mesej positif.
“Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan HLB dalam projek ini. Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga menyampaikan mesej positif kepada pendengar. Sejak pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus merasakan ‘vibe’ yang positif dan ceria, sesuai dengan suasana Raya,” katanya.
Selain meraikan Hari Raya dengan muzik, HLB turut melaksanakan inisiatif kebajikan melalui kerjasama dengan foodpanda.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, HLB menyumbangkan makanan kepada 1,000 penghantar foodpanda serta menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Perak.
Selain itu, HLB terus mengukuhkan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. Kakitangan bank telah menyumbangkan lebih RM100,000 dalam bentuk pek makanan dan keperluan harian kepada rumah kebajikan di seluruh negara, selain turut serta dalam aktiviti gotong-royong.
Lagu Senyum-Senyum Raya telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 di semua platform muzik digital, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Hong Leong Bank bermula 17 Mac 2025.