‘Honey Trap’ Serlah Sisi Gelap Dunia Perisik Wanita Masraya
- oleh Mohd Indera
- 18 Jun 2025 1:15 pm

Dunia perisikan sering dikaitkan dengan rahsia, pengorbanan dan permainan kuasa. Dalam siri premium terbaru Astro Originals berjudul Honey Trap, penonton dibawa menyelami sisi gelap dan tekanan hidup seorang perisik wanita dalam dunia politik negara rekaan Masraya.
Siri ini berkait dengan kisah dari dunia Kudeta, drama popular Astro pada tahun 2022. Kali ini, tumpuan diberikan kepada watak baru bernama Surya Gabriel, seorang perisik wanita yang cekap, berani dan menarik.
Dia diberi tugas penting untuk menghapuskan ancaman pemberontak dalam negara. Namun dalam menjalankan misi itu, Surya terjebak dalam konflik peribadi apabila dia mula jatuh hati kepada seseorang yang sepatutnya menjadi aset penting dalam tugasnya.
Dengan latar belakang dunia politik yang penuh tipu daya, Honey Trap menunjukkan tekanan emosi, pengkhianatan dan dilema moral yang dihadapi oleh perisik wanita.
Kisah ini juga menyentuh isu kesihatan mental dalam kalangan anggota keselamatan yang jarang diketengahkan kepada umum.
Pengarahnya, Imran Sheik, yang juga pernah mengarah Kudeta, berkata cerita ini diilhamkan oleh pengalamannya menjaga ahli keluarga yang menghidap masalah mental.
“Honey Trap bukan sekadar kisah aksi. Ia adalah cerita tentang empati. Saya mahu orang ramai faham bahawa mereka yang berdepan cabaran mental juga ada kekuatan yang luar biasa,” katanya.
Watak utama Surya dibawa oleh pelakon Nina KSC. Ini kali pertama beliau memegang watak utama dalam siri premium. Turut membintangi siri ini ialah Syarul Ezani, Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Amyza Aznan dan ramai lagi. Beberapa watak dari Kudeta juga akan muncul semula.
Penerbit Eksekutif Honey Trap yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata siri ini membawa sudut pandang wanita dalam genre aksi dan perisikan.
“Kami mahu paparkan cabaran sebenar wanita dalam dunia kerja yang penuh tekanan. Siri ini juga menyentuh isu seperti ketidakseimbangan kuasa dan kesihatan mental di tempat kerja,” jelasnya.
Siri ini juga bekerjasama dengan jenama minuman tempatan, Goodday Charge. Ia adalah susu diperkaya dengan 10 nutrien penting. Kerjasama ini melibatkan promosi bersama dan penempatan produk dalam siri.
Honey Trap boleh ditonton bermula 20 Jun 2025 di:
- On Demand dan sooka setiap Jumaat mulai pukul 12 tengah malam
- Astro Citra (saluran 108) setiap Jumaat jam 9 malam
- Astro Ria (saluran 104) setiap Isnin jam 9 malam
Dua episod pertama boleh distrim terus pada hari pelancaran di On Demand.