‘Hitam Putih’ Jadi Simbol Perjalanan Feby Putri Di Pentas Zepp KL
- oleh Mohd Indera
- 21 Jul 2025 1:39 pm

Penyanyi muda berbakat besar dari Indonesia, Feby Putri, menjadikan pentas Zepp Kuala Lumpur sebagai wadah meluahkan sisi paling peribadi dalam hidupnya menerusi konsert terbaharu bertajuk “FEBY PUTRI Vol.3, HITAM PUTIH Live in Kuala Lumpur” yang berlangsung pada malam Sabtu lalu.
Mengangkat tema ‘Hitam Putih’ sebagai simbol perjalanan hidup, Feby berkongsi kisah suka duka yang membentuk dirinya hari ini melalui seleksi lagu-lagu penuh emosi daripada dua albumnya, ‘RIUH’ dan ‘Hitam Putih’.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk ‘Rantau’ sebelum disusuli ‘Semoga Ada Waktu Luang’, ‘Kembali’, ‘Tayangan Oleh Kepala’, ‘Liar Angin’, ‘Senyum Semu’, ‘Guratan Tangan’ dan ‘Durasi’. Persembahan diteruskan dengan lagu popular ‘Halu’, diikuti ‘Cahaya’ dan ‘Tanda Tangan Ucap Perpisahan’.
Persembahan Feby yang sederhana namun sarat emosi jelas meninggalkan kesan mendalam apabila ramai penonton dilihat mengalirkan air mata sambil menyanyikan lagu bersamanya.
Antara momen paling istimewa malam tersebut, Feby secara senyap-senyap turun dari pentas dan menyusup ke tengah-tengah penonton tanpa disedari ramai lalu menyanyikan lagu penuh makna, ‘Perasa yang Baru Tumbuh’.
Aksi spontan itu mencipta detik manis buat peminat yang berada dekat dengannya, menjadikan suasana lebih intim dan sukar dilupakan.
Feby juga tidak terus kembali ke pentas selepas itu. Sebaliknya, dia kekal bersama penonton, berdiri di antara mereka sambil meneruskan persembahan dengan lagu ‘Bagai Bintang Bulan’.
Detik tersebut mencipta suasana hangat, apabila seluruh dewan menyanyi bersama-sama, menjadikan momen itu antara paling dekat di hati peminat sepanjang konsert berlangsung.
Konsert ini juga membuktikan bagaimana muzik Feby, yang terkenal dengan susunan melodi minimalis dan lirik yang jujur, berjaya menambat hati peminat Malaysia sejak penampilan sulungnya di sini pada 2023.
Penganjuran konsert oleh Miebird Projects dengan kerjasama Blackcat Asia sekali lagi membuahkan hasil apabila hampir 2,000 memenuhi ruang Zepp pada malam itu.