Hilmi Azmin Angkat Kisah Pahlawan Melayu Menerusi Filem Dato’ Sagor: Maruah di Bumi Perak
- oleh Mohd Indera
- 28 Jul 2025 12:03 pm

Pengarah muda tempatan, Hilmi Azmin, mengorak langkah berani dalam dunia perfileman dengan menghasilkan sebuah filem pendek sejarah berjudul Dato’ Sagor: Maruah di Bumi Perak, yang menyorot semangat perjuangan tokoh pahlawan Melayu, Dato’ Sagor, dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan British.
Filem yang dijadualkan untuk tayangan umum bermula 29 Ogos ini di JKKN Perak, bersempena sambutan Hari Kebangsaan, membawa penonton menelusuri semula detik-detik penting dalam sejarah negeri Perak, khususnya berkaitan penentangan terhadap kuasa kolonial pada penghujung abad ke-19.
Hilmi Azmin dalam kenyataannya berkata, penghasilan filem ini adalah manifestasi cintanya terhadap warisan bangsa dan usaha memperkenalkan kisah pahlawan tempatan kepada generasi baharu.
“Dato’ Sagor bukan sekadar tokoh sejarah, tetapi lambang keberanian dan semangat orang Melayu dalam mempertahankan maruah dan tanah air. Saya mahu generasi muda mengenalinya bukan hanya dari buku teks, tetapi juga melalui medium yang dekat dengan mereka, iaitu filem,” katanya.
Dengan pendekatan pengarahan yang segar dan bertenaga, Hilmi berjaya menyatukan elemen visual moden dengan kisah sejarah yang mendalam.
Filem ini turut menerima sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kreatif Negeri Perak (PORT) melalui Dana Kreatif Perak (DKP), serta beberapa agensi tempatan lain.
Menurut pihak penerbitan, Dato’ Sagor: Maruah di Bumi Perak bukan sekadar sebuah tontonan, tetapi juga inisiatif untuk memperkukuh nilai jati diri dan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia, khususnya anak muda.
Karya ini juga dijangka mencetus impak positif dalam landskap filem pendek sejarah negara, sekaligus membuktikan bahawa pengarah muda seperti Hilmi mampu mengangkat cerita lokal ke tahap yang membanggakan.
Orang ramai dijemput menyaksikan filem ini bermula 29 Ogos, dan menyelami kembali kisah pahlawan tanah air yang jarang diketengahkan di layar perak.