“Hilangnya Doa Seorang Ibu” – Hafiz Suip Kehilangan Ibu Tercinta
- oleh MDaily Editor
- 10 Nov 2025 11:14 pm
Penyanyi terkenal, Hafiz Suip, berdepan detik duka apabila ibunya, Halizawati Salleh, meninggal dunia malam tadi di Hospital Umum Kuching, Sarawak, akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Berita sedih itu dikongsikan sendiri oleh Hafiz menerusi hantaran di laman Facebook yang berbunyi, “Innalillahiwainnailaihirojiun… Hilangnya doa seorang ibu.”.

Difahamkan, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir sekitar 9.40 malam selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sumber terdekat memaklumkan arwah sebelum ini mengalami komplikasi kesihatan serius termasuk pemotongan kaki kiri paras lutut akibat penyakit kencing manis kronik.

Pada konsert solo Hafiz baru-baru ini, ibunya yang berkerusi roda sempat membuat kejutan dengan muncul di atas pentas ketika Hafiz sedang menyanyikan lagu ‘Pelangi Petang’, lagu kesukaan ibunya.
Pengarah SAH Entertainment, Sufi Rashid, menerusi hantaran di platform Threads turut menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada Hafiz serta keluarganya.
“Saya dimaklumkan bahawa ibu kepada Hafiz Suip telah kembali ke rahmatullah. Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan doakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Semoga Hafiz sekeluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini.” katanya.
Ramai peminat turut berkongsi rasa simpati dan memuji ketabahan penyanyi itu yang sebelum ini berpindah ke Kuching bagi menjaga kedua ibu bapanya yang uzur.
Pihak media dan peminat mengucapkan takziah kepada Hafiz Suip dan keluarga atas pemergian ibu tercinta.
Semoga roh Allahyarhamah Halizawati Salleh dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.




