Hijjaz, Inteam & The Rayhan Kembali Satu Pentas di SAMTTAJ Charity Hijrah Concert
- oleh MDaily Editor
- 16 Apr 2026 4:43 pm
Industri nasyid tanah air bakal menyaksikan penyatuan semula barisan gergasi irama ketuhanan apabila kumpulan Hijjaz, Inteam, The Rayhan dan Qathrunnada disahkan bakal berkongsi pentas dalam SAMTTAJ Charity Hijrah Concert 2026 pada 4 Julai depan.
Konsert yang akan berlangsung di Dewan Ibnu Al-Jazari, SAMT Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) itu bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, malah membawa misi besar mengumpul dana sasaran sebanyak RM150,000 bagi tujuan pembangunan prasarana sekolah termasuk pembinaan dataran berbumbung untuk kegunaan pelajar.

Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, pemilihan barisan artis senior ini bertujuan untuk menggamit semula memori peminat tegar nasyid selain menarik minat generasi muda melalui gabungan artis jemputan yang pelbagai.
Beliau menekankan bahawa penganjuran ini juga bertujuan mempamerkan peranan usahawan dalam mengangkat industri nasyid sebagai medium dakwah dan santapan rohani yang mendidik jiwa dalam mendepani situasi dunia yang mencabar.

”Kita mahu masyarakat melihat bahawa nasyid bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan solusi rohani. Gabungan artis lama dan baru ini adalah satu simbolik kesinambungan dakwah melalui seni,” ujar Datuk Seri Muhammad Khanafi ketika ditemui di Barbarossa Kahve, di sini, hari ini.
Selain barisan utama nasyid, acara ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran personaliti inspirasi seperti Fynn Jamal, FBI (Faizal Ismail), Ustaz Nadzrie Abbas serta persembahan istimewa daripada Adik Nur Muhammad.
Berbeza dengan konsert berskala besar di stadium, penganjur memilih konsep yang lebih intim dengan mengehadkan kapasiti kepada 800 tempat duduk sahaja bagi memastikan kualiti tontonan dan suasana yang lebih eksklusif buat para penonton.
Tiket ditawarkan pada harga RM100 untuk semua zon dengan sistem duduk bebas, manakala perjalanan majlis akan diselang-selikan dengan penyampaian sepuluh anugerah perniagaan sebagai tanda penghargaan kepada komuniti usahawan yang sentiasa menyokong industri seni Islamik tanah air.
Sementara itu, YDP PIBG, Mohamad Mahathir Bin Mohamed Hanan menegaskan bahawa keseluruhan kutipan daripada jualan tiket dan sumbangan korporat akan disalurkan sepenuhnya untuk tabung kebajikan serta pembangunan fizikal sekolah.
Beliau menyatakan bahawa projek utama mereka adalah menaik taraf kemudahan pelajar, termasuk pembinaan dataran berbumbung yang sangat diperlukan oleh warga sekolah.

”Harapan kami agar alumni dan ibu bapa dapat menyokong penuh inisiatif ini. Sasaran RM150,000 ini bukan sekadar angka, tetapi pelaburan untuk keselesaan anak-anak kita menuntut ilmu,” tambahnya.
Peminat yang ingin menyaksikan gabungan legenda nasyid ini disarankan untuk mendapatkan tiket dengan kadar segera melalui laman sesawang rasmi www.pibgsamttaj.bcl.my sebelum acara bermula pada jam 8.30 malam, 4 Julai nanti.
