Ikuti Kami:

Hidangan Popular Singapura, Encik Tan Kini Di Subang SkyPark

Hidangan Popular Singapura, Encik Tan Kini Di Subang SkyPark

Jenama makanan jalanan Cina bersijil halal popular dari Singapura, Encik Tan, secara rasmi melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia dengan pembukaan cawangan pertama di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang SkyPark), di sini, hari ini.

Pembukaan cawangan yang terletak di Lot G17 itu menandakan fasa baharu dalam perkembangan serantau jenama di bawah Kumpulan Fei Siong tersebut, yang kini telah mempunyai 21 cawangan di Singapura dan satu di Jakarta, Indonesia.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Fei Siong, Encik Tan Kim Siong berkata, pemilihan Subang SkyPark sebagai lokasi sulung adalah langkah strategik memandangkan kawasan tersebut mempunyai trafik pengunjung yang tinggi merangkumi pelancong, kakitangan lapangan terbang dan komuniti setempat.

“Subang SkyPark merupakan peluang yang sangat sesuai untuk Encik Tan menembusi pasaran Malaysia. Dari Singapura ke Kuala Lumpur, kita bawakan aneka rasa hidangan jalanan yang diwarisi turun-temurun. Ia sememangnya nostalgik dan penuh dengan rasa asli,” katanya semasa majlis perlancaran, di sini, semalam.

Menurut beliau, syarikatnya turut merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, selain sasaran jangka panjang untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, Australia dan United Kingdom.

Bagi memastikan keyakinan pengguna Muslim, cawangan di Malaysia kini sedang melalui proses mendapatkan sijil halal yang mematuhi kriteria Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Segala penyediaan menu dilakukan dengan teliti menggunakan bahan makanan yang disahkan halal.

Ekspansi ini turut dikukuhkan menerusi perkongsian bersama Bake With Yen (BWY), peruncit bekalan pembuatan kuih terbesar di Malaysia yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor makanan dan hospitaliti.

Restoran berkeluasan 1,800 kaki persegi ini direka dengan konsep kontemporari bertemakan warna jingga dan putih, mampu memuatkan sehingga 50 pengunjung pada satu-satu masa.

Antara menu utama yang menjadi kegemaran ramai termasuklah:

– Nasi Kari Ayam (Chicken Cutlet Curry Rice) – RM15
– Mi Bebola Ikan (Fishball Noodles) – RM13
– Mi Udang Hokkien (Prawn Hokkien Mee) – RM18
– Nasi Claypot Ayam – RM18
– Mi Istimewa (Signature Noodles) – RM20

Untuk rekod, menu Mi Bebola Ikan jenama ini telah terjual sebanyak 10 juta mangkuk sejak penubuhannya pada 2014, membuktikan kualiti dan rasa yang diterima baik oleh pelanggan.

Sempena pembukaan rasmi, Encik Tan menawarkan minuman percuma (pilihan Sirap Ros Ais, Beri Biru Ais atau Limau Kasturi Ais) bagi setiap pembelian hidangan utama bermula 7 sehingga 8 Mei 2026.

Promosi ini terbuka kepada penumpang yang mempunyai pas masuk (boarding pass) dan kakitangan lapangan terbang yang memiliki pas pekerja. Restoran ini beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 pagi hingga 10.30 malam.