Ikuti Kami:

‘Here With Me’ Bergema di KL: d4vd Temui Peminat Malaysia Buat Pertama Kali

‘Here With Me’ Bergema di KL: d4vd Temui Peminat Malaysia Buat Pertama Kali

Lagu hit Here With Me bergema di ibu kota apabila penyanyi dan penulis lagu dari Amerika Syarikat, d4vd, mengadakan persembahan sulungnya di Malaysia pada Selasa lalu (13 Mei), mencipta detik istimewa bersama lebih 700 peminat setia yang hadir.

Persembahan eksklusif selama 30 minit itu berlangsung di Vox Live, Kuala Lumpur, yang dipilih sebagai lokasi baharu menggantikan venue asal berikutan sambutan luar biasa.

Menurut Universal Music Malaysia, lebih 9,000 peminat telah mendaftar untuk peluang menyertai acara tersebut, namun hanya 700 yang berjaya dipilih bagi menyaksikan malam yang penuh emosi dan kenangan itu.

d4vd, atau nama sebenarnya David Burke, mempersembahkan lapan buah lagu termasuk lagu-lagu popular seperti Feel It, Romantic Homicide, serta beberapa karya terbaharu dari album barunya Withered.

Persembahan beliau menerima sorakan padu dan nyanyian bersama daripada peminat yang jelas teruja dengan kehadiran artis muda itu buat pertama kali di negara ini.

Satu lagi momen istimewa malam tersebut ialah sesi soal jawab bersama peminat, di mana d4vd sendiri memilih dan menjawab beberapa soalan yang dihantar secara langsung oleh hadirin, menambah elemen peribadi dalam persembahannya.

Beliau turut memperkenalkan adik perempuannya, Emily, yang membuat penampilan istimewa di atas pentas.

Dilahirkan di Houston, Texas, d4vd mula berkarya secara bebas hanya dari dalam almari bilik adiknya dan memuat naik hasilnya ke platform dalam talian.

Namanya melonjak naik pada tahun 2022 dengan lagu Romantic Homicide, yang dirakam sepenuhnya menggunakan telefon pintar dan berjaya meraih status Multi-Platinum serta memasuki carta Billboard Hot 100.

Selepas menandatangani kontrak bersama label Darkroom/Interscope, d4vd terus mengukuhkan namanya menerusi lagu Here With Me, yang turut meraih kejayaan antarabangsa dan pensijilan Platinum daripada RIAA.

Persembahan di Kuala Lumpur pada hari Selasa lalu merupakan sebahagian daripada jelajah promosi album terbarunya, Withered, di rantau Asia Tenggara.

Foto: Universal Music Malaysia.

Komen
Loading...