Pelakon, model, dan penyanyi popular, Nelissa Edreena Nizam kini melangkah setapak lagi dalam dunia keusahawanan dengan melancarkan jenama fesyen sendiri, HER Series, hasil kolaborasi strategik bersama pereka fesyen tempatan, Sodiqin Shaz.
Majlis pelancaran HER Series di The Heritage Club, Hotel Royale Chulan hari ini turut berkongsi kejayaan koleksi berkenaan yang terlebih dahulu membuat debut di Bali Fashion Week hujung tahun lalu.
Menurut Nelissa, peluang tersebut hadir secara tidak dirancang melalui jemputan yang diterima oleh Sodiqin atas profil kukuhnya bersama Shaznash.
“Sebenarnya peluang ke Bali itu datang secara tiba-tiba. Sodiqin mendapat jemputan kerana pengalamannya sebelum ini. Apabila dia mengajak saya, saya terus setuju.
“Walaupun pelancaran pertama terus ke luar negara tanpa perancangan lama, namun maklum balas penonton di sana sangat memberangsangkan,” katanya.

Nelissa (kiri) bergambar bersama model yang menyarungkan koleksi HER Series pada acara Bali Fashion Week yang berlangsung hujung tahun lalu.
Menyentuh mengenai kerjasama mereka, Nelissa bertindak sebagai pengasas yang memberikan hala tuju idea, manakala Sodiqin menggunakan kepakaran teknikal dari jenama Shaznash untuk mengemudi jabatan kreatif.
“Sodiqin memberikan ruang untuk saya berkarya. Proses kreatif kami melibatkan sesi perbincangan yang mendalam. Walaupun koleksi ini memaparkan personaliti saya, ia tetap mengekalkan ‘darah’ dan identiti rekaan Shaznash yang dikenali dengan kualiti buatannya,” jelas Nelissa.
Bagi mengelakkan konflik, mereka menetapkan sempadan kerja yang jelas, Sodiqin turut berkongsi bahawa mereka menghormati ruang kreatif masing-masing, termasuk ketika sesi pemilihan fabrik dan lakaran rekaan bagi memastikan identiti HER Series kekal unik.
Bagi koleksi sulung ini, Nelissa memilih warna merah sebagai simbolik perkembangan peribadinya.
“Warna merah ini melambangkan keberanian (boldness). Walaupun orang nampak saya sebagai aktres yang berani, hakikatnya saya juga mempunyai insekuriti sendiri.
“Tahun 2026 adalah tahun untuk saya jadi lebih berani dan berkuasa. Saya mahu keluarkan aura itu menerusi HER Series,” katanya yang menyasarkan konsep slow fashion dengan empat episod koleksi setahun.

Nelissa menggayakan koleksi HER Series semasa di Bali Fashion Week hujung tahun lalu.
Tidak mahu sekadar mengejar trend ‘fast fashion’, HER Series menekankan aspek penceritaan menerusi setiap ‘muse’. Selepas koleksi yang lebih berani dalam Episod 1, Nelissa mendedahkan perancangan untuk koleksi seterusnya.
“Episod 2 nanti kami akan beralih ke arah Modest Wear bersempena musim Ramadan dan Syawal. Kami akan tampilkan ‘muse’ berhijab pula. Malah, impian saya adalah untuk memperkenalkan koleksi Plus Size dalam Episod 5 nanti kerana setiap wanita, apa jua saiz dan warna kulit, mempunyai cerita ‘HER’ yang tersendiri,” tambahnya lagi.

Sodiqin, yang juga merupakan pengasas dan pengarah kreatif bagi jenama Shaznash, membawa kepakaran rekaannya yang sebelum ini pernah mewarnai pentas KL Fashion Week (KLFW) untuk disuntik ke dalam DNA koleksi sulung ini.
Pasangan kolaborasi ini mengakui telah membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk fasa permulaan merangkumi kos stok dan kempen pemasaran sehingga ke luar negara.
“Kami sangat mementingkan kualiti material. Contohnya untuk blazer, kami gunakan fabrik terbaik. Walaupun kami masih muda dalam industri perniagaan, kami pastikan kualiti produk berada pada tahap terbaik (at par),” ujar Sodiqin.
Koleksi HER Series yang bersifat terhad (limited) ini boleh didapati menerusi platform dalam talian tidak lama lagi dengan harga bagi helaian eksklusif seperti blazer bermula dalam lingkungan RM600 sehingga RM800.




