Helloween Kembali Gegar Malaysia 8 Disember Ini Sempena Ulang Tahun ke-40
- oleh Mohd Indera
- 25 saat lalu

Kumpulan legenda power metal dari Jerman, Helloween, sah akan kembali menemui peminat di Malaysia buat kali kedua menerusi konsert istimewa “40 Years Anniversary Tour” yang dijadual berlangsung pada 8 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Kemunculan semula ini menandakan satu lagi detik bersejarah selepas persembahan pertama mereka pada 28 April 2018 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur yang menjadi sebahagian daripada Pumpkins United World Tour.
Ketika itu, gabungan tiga vokalis utama Michael Kiske, Kai Hansen dan Andi Deris telah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik metal tempatan.
Helloween yang ditubuhkan pada tahun 1984 di Hamburg merupakan antara pelopor utama genre power metal dan telah menghasilkan lebih 16 album studio sepanjang empat dekad perjalanan seni mereka.
Album terbaru Giants & Monsters dijangka dilancarkan pada 29 Ogos 2025 di bawah label Reigning Phoenix Music. Single pertama dari album tersebut This Is Tokyo telah diperkenalkan pada 13 Jun lalu dan menerima sambutan hangat dengan video muzik penuh aksi serta produksi tinggi.
Barisan Helloween yang bakal tampil di Malaysia terdiri daripada Michael Kiske dan Andi Deris (vokal), Kai Hansen (gitar/vokal), Michael Weikath dan Sascha Gerstner (gitar), Markus Grosskopf (bass), serta Daniel Löble (dram).
Gabungan trio vokalis ini telah menjadi kekuatan utama sejak mereka disatukan semula pada 2017 dan berjaya menarik generasi baharu peminat metal.
Konsert di Kuala Lumpur turut menjadi salah satu destinasi penting dalam siri jelajah Asia mereka yang akan bermula di JogjaROCKarta Festival, Indonesia pada 6 Disember, sebelum bergerak ke Amerika dan kembali ke Eropah pada pertengahan 2026.
Tiket untuk konsert ini telah mula dijual melalui laman rasmi www.myticketempire.com, dengan harga bermula dari RM330 hingga RM680 bergantung kepada kategori dan lokasi tempat duduk. Harga tidak termasuk caj pemprosesan tiket.
Peminat muzik metal tempatan dijangka membanjiri Zepp Kuala Lumpur bagi menyaksikan sendiri persembahan bertenaga penuh visual dan solo gitar yang menggetarkan jiwa.
Kepulangan Helloween selepas tujuh tahun pastinya akan menjadi malam epik untuk dikenang dalam sejarah muzik rock tempatan.