
Pasangan adik-beradik terkenal, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Mengukir Takdir, sebuah lagu yang sarat dengan nilai perjuangan, ketabahan dan pengharapan kepada Allah SWT.
Lagu yang digarap oleh Wan Saleh bersama Hazwani Helmi ini diterbitkan sepenuhnya oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents, dan dianggap antara karya paling beremosi serta bermakna dalam perjalanan muzik mereka.
Menurut Heliza dan Hazwani, Mengukir Takdir bukan sekadar lagu, tetapi satu hadiah doa dan harapan buat semua pejuang kehidupan, termasuk saudara-saudara di Gaza yang menjadi sumber inspirasi utama terciptanya karya ini.
“Kami melihat perjuangan rakyat Gaza bukan hanya tentang peperangan fizikal, tetapi tentang ketabahan dan keimanan yang luar biasa. Dari situ, lahirlah semangat untuk menghasilkan lagu ini. Ia mengingatkan kita bahawa setiap insan juga pejuang dalam kisah hidup masing-masing,” ujar mereka.
Proses rakaman Mengukir Takdir turut mengambil masa panjang kerana menuntut ketelitian dari segi teknik vokal dan susunan muzik.
Lagu ini menampilkan gabungan vokal harmoni dua beradik, disulami dengan elemen koir dan irama Arab yang memperkukuh identiti dan kekuatan emosi karya tersebut.
“Rakaman demo dan akhir masing-masing mengambil masa sekitar lima jam. Cabarannya ialah bagaimana mahu menyalurkan emosi dan semangat perjuangan itu agar benar-benar sampai kepada pendengar. Alhamdulillah, dengan bimbingan Wan Saleh, kami berjaya memberi nyawa kepada lagu ini,” kata mereka lagi.
Selain mengetengahkan mesej kemanusiaan, lirik Mengukir Takdir turut membawa makna rohani yang mendalam. Ia mengingatkan bahawa dalam setiap kesulitan, pasti ada kemudahan seperti dijanjikan Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6.
“Kami tujukan lagu ini sebagai penguat semangat untuk sesiapa sahaja yang sedang berjuang, sama ada dalam kehidupan, kerjaya, atau ujian peribadi. Setiap detik yang sukar adalah ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah,” ujar mereka.
Mengukir Takdir kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, membawa pendengar menelusuri perjalanan muzik yang penuh makna, doa dan perjuangan daripada The Helmis.